Lebih 15,000 peminjam Hijrah Selangor tak bayar pinjaman

Lebih 15,000 peminjam Hijrah Selangor tak bayar pinjaman

Exco Beliau, Sukan dan Keusahawanan negeri Najwan Halimi berkata keseluruhan tunggakan pinjaman yang tidak dibayar itu mencecah RM135 juta.

Exco Beliau, Sukan dan Keusahawanan negeri Najwan Halimi berkata Skim Hijrah Selangor menyalurkan pinjaman kepada seramai 58,885 usahawan dengan pembiayaan berjumlah RM780 juta.
SHAH ALAM:
Sidang DUN Selangor diberitahu bahawa lebih 15,000 peminjam atau 22% daripada keseluruhan peminjam program Hijrah Selangor tidak membayar pinjaman dengan nilai tunggakan mencecah RM135 juta.

Exco Beliau, Sukan dan Keusahawanan negeri Najwan Halimi berkata program itu menyalurkan pinjaman kepada seramai 58,885 orang dengan pembiayaan dikeluarkan berjumlah RM780 juta.

“Setakat ini, 78% membayar balik pinjaman dan bakinya 22% peminjam masih berdegil,” katanya ketika menjawab soalan Ahmad Yunus Hairi (PN-Sijangkang) yang ingin mengetahui status terkini program Hijrah Selangor dan jumlah peminjam serta hutang tertunggak mengikut daerah.

Najwan berkata setakat 30 September lepas, Petaling merekodkan jumlah tunggakan tertinggi iaitu RM37.8 juta diikuti Hulu Langat (RM25.7 juta) dan Gombak (RM18.2 juta).

Beliau berkata kerajaan negeri merancang untuk mengkaji semula beberapa sudut pembayaran dan mengenal pasti kelompongan dari segi kutipan.

Sementara itu, Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Izham Hashim berkata kerajaan Selangor memperuntukkan hampir RM6 juta bagi memasang 790 lampu jalan solar diod pemancar cahaya (LED) di seluruh negeri sejak tahun lepas.

“Kriteria pemilihan lokasi bagi pemasangan lampu solar tersebut adalah seperti tiada punca bekalan kuasa dan kawasan vandalisme atau tinggi kadar kecurian.

“Pemasangan juga tertumpu kepada lokasi yang kerap berlaku kemalangan, simpang terpencil, jambatan dan luar kawasan rintis Tenaga Nasional Bhd,” katanya menjawab soalan Mariam Abdullah Rashid (PH-Meru).

Menjawab soalan tambahan Sallehen Mukhyi (PN-Sabak) mengenai masalah ketiadaan lampu jalan, Izham menjelaskan kecurian kabel menjadi punca utama banyak lampu tidak bernyala.

“Jenayah curi itu berlaku di semua tempat dengan pemasangan kabel tersebut mengambil tempoh masa yang lama. Masalah lampu jalan adalah menggunakan kabel, apabila kabel dicuri sebab itu banyak tiang namun lampu tiada.

“Sebenarnya setiap jalan sudah ada lampu kerana ini termasuk dalam aspek pembinaan jalan raya. Jadi, hendak tampung lampu-lampu ini kita laksanakan Program Pencahayaan Lampu Jalan Jenis Solar LED di Selangor,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.