Farhash akan lapor polis terhadap Wan Fayhsal isu tarik sokongan

Farhash akan lapor polis terhadap Wan Fayhsal isu tarik sokongan

Farhash Wafa Salvador berkata beliau dijadikan alatan politik untuk menyebarkan khabar angin.

Bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador (kiri) menafikan tuduhan ‘fitnah’ terhadapnya susulan kenyataan Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
PETALING JAYA:
Bekas setiausaha politik Anwar Ibrahim akan membuat laporan polis terhadap Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal selepas dikaitkan dengan usaha menarik sokongan kepada perdana menteri.

Farhash Wafa Salvador sekeras-kerasnya mengecam dan menafikan tuduhan-tuduhan “fitnah”, “tidak benar”, dan “tidak berasas” terhadapnya.

“Ianya jelas bahawa saya dijadikan sebagai alatan politik untuk menyebarkan khabar angin yang tidak benar untuk kepentingannya sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Farhash menjelaskan beliau sudah lama tidak terlibat dengan kancah politik dan kini hanya menjalankan kehidupan sebagai ahli perniagaan.

“Saya juga tidak faham mengapa Wan Fayhsal melontarkan fitnah demikian dengan niat menjatuhkan reputasi saya demi kepentingan politik beliau.

“Saya juga merizabkan hak untuk memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Wan Fayhsal,” katanya.

Terdahulu, Wan Fayhsal dalam sidang media di Parlimen mendakwa dua individu dikenal pasti menarik Ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong perdana menteri.

Wan Fayhsal berkata dua individu itu adalah Farhash dan seorang lagi  dikenali sebagai “Datuk Botak”.

Katanya, peranan dua individu tersebut didedahkan dalam satu video yang kini tular di Facebook dan TikTok.

“Terdapat satu video yang menunjukkan identiti ‘Datuk Botak’…yang memainkan peranan untuk menyogok dan mengugut Ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong perdana menteri.

“Video tersebut juga menjelaskan peranan bekas pegawai politik dalam perkara ini,” kata Ahli Parlimen Machang itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.