Shabery tak mahu tanding, BN mungkin pertaruh muka baharu di Kemaman

Shabery tak mahu tanding, BN mungkin pertaruh muka baharu di Kemaman

Umno Terengganu berkata bekas Ahli Parlimen Kemaman itu sejak awal lagi menolak apabila beberapa pihak mencadangkan namanya sebagai calon BN.

Ahmad Shabery Cheek menolak untuk dicalonkan mewakili BN pada PRK Kemaman 2 Dis ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Umno Terengganu tidak menghantar nama Ahmad Shabery Cheek untuk dicalonkan pada PRK Parlimen Kemaman 2 Dis ini kerana pengerusi Felda itu bertegas tidak mahu bertanding.

Timbalan Ketua Umno Terengganu, Nik Dir Nik Wan Ku, berkata bekas Ahli Parlimen Kemaman itu sejak awal lagi menolak apabila beberapa pihak mencadangkan namanya sebagai calon Barisan Nasional (BN) kerusi itu.

“Nama Shabery tiada dalam senarai untuk ditapis Presiden Zahid Hamidi kerana beliau dari awal bertegas tidak mahu bertanding,” katanya kepada FMT.

Nik Dir berkata, tiga nama dihantar kepada Zahid adalah anak tempatan dengan latar belakang profesional termasuk calon muka baharu.

“Tiga nama itu merangkumi yang pegang jawatan dalam parti, tapi kemungkinan dipilih calon baharu tidak pernah bertanding dan tak ada rekod (bersih),” katanya.

Beliau berkata, calon mewakili BN di PRK Kemaman akan diumumkan Zahid dalam majlis di Kuala Lumpur 13 Nov ini.

Ditanya peluang BN merampas Kemaman, Nik Dir mengulangi niat semua parti bertanding mahu menang.

“Jika dapat kurangkan majoriti ia satu kejayaan buat parti itu selepas mengambil kira undi diperoleh calon PAS pada PRU lalu terlalu tinggi,” katanya.

Pada PRU15, Che Alias Hamid daripada Perikatan Nasional memperoleh 65,714 undi dalam pertandingan empat penjuru menewaskan Ahmad Said (BN) yang meraih 38,535 undi, calon Pakatan Harapan Hasuni Sudin (8,340 undi) dan Rosli Ab Ghani daripada Pejuang (506 undi).

BN pernah menawan kerusi itu tiga penggal berturut-turut menerusi Shabery sebelum beliau tewas pada PRU14.

PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lalu membatalkan kemenangan PN apabila pempetisyen Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil berjaya membuktikan berlaku perbuatan rasuah bagi mempengaruhi pengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.