Lagi budak maut ditinggal dalam kereta

Lagi budak maut ditinggal dalam kereta

Polis berkata ibu mangsa berhenti sekejap untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian sehingga terlupa menurunkan mangsa di tadika.

Polis berkata mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia.
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak perempuan dua tahun meninggal dunia selepas ditinggalkan dalam kereta selama lapan jam di Ara Damansara, di sini.

Ketua Polis Petaling Jaya, Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima maklumat pada 3.40 petang semalam memaklumkan mangsa tidak sedarkan diri di rumahnya di Ara Damansara.

Katanya hasil siasatan mendapati ibu mangsa berusia 30-an menghantar dua anaknya ke sekolah berhampiran, disusuli mangsa ke tadika.

Setibanya di tadika, beliau berkata ibu mangsa berhenti sekejap untuk menyelesaikan urusan perniagaan dalam talian sehingga terlupa menurunkan mangsa.

“Ibu mangsa terus balik ke rumah dan hanya menyedari mangsa di dalam kereta pada 3.35 petang dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata bapa mangsa membuat panggilan Mers 999 dan memberikan rawatan awal sehingga ambulans serta polis tiba.

Katanya mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia.

“Bedah siasat dijalankan hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya sambil meminta orang ramai mempunyai maklumat berkaitan menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222.

Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa peka, lebih bertanggungjawab dan mementingkan keselamatan anak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.