Meterai kontrak jangka panjang kawal kos haji, kata menteri

Meterai kontrak jangka panjang kawal kos haji, kata menteri

Mohd Na’im Mokhtar kontrak jangka panjang melibatkan penerbangan, penginapan, sajian makan dan beberapa perkhidmatan di Arab Saudi.

TH sudah melaksanakan bantuan kewangan haji secara bersasar dengan mengecualikan jemaah T20 pada musim haji, Mei lalu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Memeterai kontrak jangka panjang dengan syarikat penerbangan antara pendekatan diambil Lembaga Tabung Haji (TH) untuk mengurangkan kesan kenaikan kos ibadah rukun Islam kelima itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata kontrak lain melibatkan perkhidmatan penginapan dan sajian makanan di Arab Saudi.

Menurutnya, kos mengerjakan haji yang ketika ini RM30,800 dijangka meningkat RM34,000 pada tahun depan disebabkan beberapa faktor seperti kadar percukaian di Arab Saudi dan tukaran mata wang.

Jelasnya, projek pembesaran di Makkah dan Madinah turut memberi kesan yang menyebabkan banyak bangunan penginapan jemaah haji dirobohkan dan memberi tekanan kepada pasaran harga sewaan.

“Di samping itu, terdapat juga caj dikenakan pihak berkuasa Arab Saudi bagi pelbagai perkhidmatan yang disediakan untuk kebajikan dan keselesaan jemaah haji di tanah suci.

“Kenaikkan kadar cukai tambah nilai di Arab Saudi dari 5% kepada 15% bermula Julai 2020 juga adalah salah satu punca kenaikan kos yang agak ketara,” katanya.

Na’im berkata demikian menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) yang membangkitkan isu kos bagi menunaikan ibadah haji tahun depan dianggarkan meningkat mencecah 11%.

TH sudah melaksanakan bantuan kewangan haji secara bersasar dengan mengecualikan jemaah T20 pada musim haji, Mei lalu.

Pelaksanaan bantuan haji bersasar itu berbeza daripada tahun terdahulu iaitu dipecahkan kepada tiga kelompok membabitkan B40, M40 dan T20.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.