
Pengarah Eksekutif Childline Foundation Wong Poai Hong berkata, suruhanjaya sebegitu akan mengukuhkan keyakinan orang ramai dalam menderma untuk tujuan amal kerana ia akan berfungsi sebagai badan kawal selia yang menyelia sumbangan dan dana bagi NGO.
Beliau berkata, NGO juga boleh dikehendaki menepati petunjuk prestasi utama yang ditetapkan oleh suruhanjaya untuk mendapatkan pembiayaan kerajaan bagi projek mereka.
Syarikat dan orang ramai akan lebih yakin apabila menderma kepada badan amal apabila mengetahui wujudnya suruhanjaya yang akan menyelia akauntabiliti bagi kutipan dan pengeluaran dana, dan memastikan dana itu dibelanjakan untuk projek yang memberikan impak positif terhadap masyarakat.
Pada masa ini, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mempertanggungjawabkan NGO atas operasi mereka.
Wong berkata, Suruhanjaya Badan Amal yang bebas hanya akan menyelia sistem yang lebih sistematik bagi kutipan dan pengeluaran dana dan akan selaras dengan amalan antarabangsa, seperti Suruhanjaya Badan Amal United Kingdom dan Tabung Kebajikan Masyarakat (Community Chest) Singapura.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Yoosuf menggesa agar NGO yang mengutip derma bagi tujuan kemanusiaan diteliti dan diaudit, berikutan aduan mengenai kesahan sesetengah kumpulan.
Ramli berkata, NGO harus dikawal selia oleh agensi kerajaan bagi memastikan derma yang dikutip sampai kepada penerima yang betul.
Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia Andrew Mohanraj menyokong gesaan agar Suruhanjaya Badan Amal ditubuhkan dengan berkata, badan amal yang sah akan mendapat manfaat apabila dipaparkan dalam direktori suruhanjaya itu, memudahkan penderma mengenal pasti organisasi yang sejajar dengan tujuan pilihan mereka.
James Nayagam daripada Persatuan Kebajikan Suriana berkata, penubuhan suruhanjaya itu akan membantu memastikan NGO yang berdaftar boleh dipercayai, bertanggungjawab dan telus dalam operasi mereka.