
Ketua Perangkawan, Uzir Mahidin, berkata kes rogol mencatat peratusan tertinggi iaitu 9.6%.
“Bagaimanapun, kes seks luar tabii, gangguan seksual dan cabul kehormatan masing-masing menunjukkan penurunan sebanyak 10.4%, 5.7%, dan 0.5%,” katanya dalam kenyataan Statistik Jenayah 2023.
Sementara itu, beliau berkata jenayah indeks dan jenayah komersial masing-masing menurun sebanyak 4.1% dan 3% kepada 50,813 kes dan 30,536 kes pada 2022.
Bagaimanapun, katanya jenayah siber meningkat 44.3% kepada 577 daripada 400 kes dalam tempoh sama.
Menurutnya, jenayah komersial pada 2022 yang dilaporkan polis menurun, kecuali kesalahan berkaitan wang palsu dan jenayah siber.
“Kesalahan tipu merekodkan bilangan tertinggi iaitu 27,247 kes (89.2%) diikuti pecah amanah (911 kes; 3.0%), dan kesalahan bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (832 kes; 2.7%),” katanya.
Uzir berkata, bagi kes berkaitan dadah meliputi membekal, memiliki dan positif ujian urin menunjukkan peningkatan sebanyak 30.6% kepada 141,289 kes pada 2022.
“Kesalahan membekal meningkat sebanyak 18%, memiliki dadah meningkat sebanyak 35.1% dan positif ujian urin meningkat 31.2% berbanding 2021. Bilangan tangkapan berkaitan kes dadah meningkat 26.3% 163,697 tangkapan pada 2022,” katanya.