Skim Keilatan akan diperluas kepada pekerja asing, kata menteri

Skim Keilatan akan diperluas kepada pekerja asing, kata menteri

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata perkara itu sedang diperincikan sebelum dikuat kuasa dalam masa terdekat.

Ketika ini, pekerja asing hanya dilindungi Skim Bencana Kerja menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memperluaskan Skim Keilatan kepada pekerja asing bagi memastikan golongan itu turut dilindungi.

Menterinya, V Sivakumar bagaimanapun berkata perkara itu sedang diperincikan sebelum dikuat kuasa dalam masa terdekat.

“Ini bagi meningkatkan tahap jaringan perlindungan sosial dan memberi keadilan kepada pekerja berkhidmat di pelbagai sektor dan industri, termasuk buruh asing selari Konvensyen 19 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya selepas Majlis Penghargaan dan Makan Tengah Hari Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Skim Keilatan memberi perlindungan kepada pekerja daripada keilatan atau kematian akibat sebarang sebab yang tiada kaitan pekerjaan.

Mengulas lanjut, Sivakumar berkata ketika ini pekerja asing hanya dilindungi Skim Bencana Kerja menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

“Untuk pekerja tempatan, mereka dilindungi Skim Bencana Kerja dan Skim Keilatan dengan kadar caruman dibuat majikan sebanyak 1.75%, manakala pekerja membayar 0.5%.

“Bagi pekerja asing pula, majikan membayar 1.25% dan tiada bayaran dikenakan kepada pekerja…tetapi dengan perluasan Skim Keilatan ini kelak, kadar caruman akan diselaraskan dengan kadar caruman majikan dan pekerja tempatan.”

Beliau menggesa majikan pekerja domestik asing mencarum skim Perkeso bagi membolehkan pekerja mereka dilindungi Skim Bencana Kerja.

“Berdasarkan rekod, hanya 39.67% daripada 95,000 pekerja domestik asing di negara ini dilindungi skim Perkeso, sedangkan semua pekerja domestik, termasuk buruh asing diwajibkan mendaftar dan mencarum dengan Perkeso sejak 1 Jun 2022.

“Perangkaan ini menunjukkan ada segelintir majikan masih tidak akur dengan arahan berkenaan.”

Setakat 1 Okt lalu, katanya 1.78 juta pekerja asing aktif dilindungi Skim Bencana Kerja Pekerja Asing Perkeso.

“Sehingga kini, sebanyak 37,328 kemalangan membabitkan pekerja asing dilaporkan kepada Perkeso dengan jumlah bayaran manfaat keselamatan sosial sudah dilunaskan kepada Orang Berinsurans dan waris menjangkau RM76.57 juta.”

Dalam perkembangan lain, Sivakumar berkata KSM masih menjalankan rundingan dengan Indonesia berhubung kos pengambilan pembantu rumah yang mencecah RM15,000 seorang.

“Perkara ini belum dimuktamadkan…yang pasti kita di landasan sama, iaitu mengurangkan kos tersebut. Perjumpaan pegawai Malaysia dengan Indonesia masih berterusan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.