
Beliau menyifatkan pelan itu langkah ke arah yang betul, tetapi tiada golongan patut dipinggirkan dan manfaatnya perlu mudah alih merentas sempadan bagi pekerja asing.
“Pekerja asing yang membina Malaysia perlu dilindungi di tempat kerja mereka. Kita perlu memastikan manfaat kepada waris dan pencen ilat sampai kepada keluarga mereka,” katanya dalam catatan X.
Beliau berkata, kejayaan skim itu bergantung sejauh mana mudahnya membuat tuntutan, penguatkuasaan dan alat digital yang mesra pengguna, berbilang bahasa serta disokong bantuan luar talian.
“Tanpa saluran pelaporan jelas dan penalti terhadap ketidakpatuhan, dasar ini sekadar retorik.”
Santiago menggesa kerjasama erat dengan kesatuan sekerja dan kumpulan berkepentingan dalam merangka dasar itu kerana Malaysia perlu “melaksanakannya dengan betul sejak permulaan”.
“Satu kecederaan saja boleh menyebabkan keluarga B40 jatuh miskin dalam beberapa minggu.
“Sertakan kesatuan sekerja, kumpulan pekerja asing, organisasi wanita, penyokong golongan kurang upaya, pakar keselamatan pekerjaan dan klinik komuniti dalam merangka dasar supaya tiada yang tercicir.”
Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia akan memperkenalkan skim kecederaan bukan pekerjaan bagi memastikan pekerja terus dilindungi di luar waktu kerja.
Pengumuman itu sejajar kenyataan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim bulan lalu yang berkata, pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 sedang dirangka bagi memberi perlindungan keselamatan sosial 24 jam kepada pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Pindaan itu dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.