Turki bangga dengan pencapaian raikan Hari Kebangsaan Ke-100, kata duta

Turki bangga dengan pencapaian raikan Hari Kebangsaan Ke-100, kata duta

Duta Turki ke Malaysia Emir Salim Yuksel berkata proses pemodenan dan pemusatan negara telah bermula seawal abad ke-18 pada zaman Uthmaniyyah.

Duta Turki ke Malaysia, Emir Salim Yuksel berkata perjalanan dari Empayar Uthmaniyyah ke Republik Turki moden sebagai proses sukar tetapi gemilang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Turki berbangga dengan pelbagai pencapaianya selama ini ketika republik itu meraikan ulang tahun ke-100 penubuhannya.

Duta Turki ke Malaysia, Emir Salim Yuksel mengimbau kembali pengisytiharan Republik Turki oleh Majlis Agung Negara Turki pada 29 Okt, 1923 selepas rakyat Turki terbabit dalam peperangan panjang untuk kemerdekaan tanah air mereka.

Di bawah kepemimpinan Mustafa Kemal Ataturk, Turki berjaya membebaskan sempadannya daripada pasukan penjajah dalam keadaan yang sangat sukar.

“Saya yakin generasi-generasi berikutnya akan memahami pentingnya untuk kekal sebagai sebuah negara merdeka dan terus menghargainya. Republik kita berbangga dengan pencapaian-pencapaiannya dan seperti masa lalunya yang gemilang, kita percaya, ia akan mempunyai masa depan yang cemerlang,” katanya.

Menggambarkan perjalanan dari Empayar Uthmaniyyah ke Republik Turki moden sebagai proses yang sukar tetapi gemilang, Yuksel berkata, rakyat Turki terpaksa melalui peperangan panjang pada akhir abad ke-19, bertempur dalam Perang Balkan 1912-13 dan Perang Dunia Pertama serta pendudukan haram di beberapa bahagian Anatolia.

Beliau berkata, proses pemodenan dan pemusatan negara telah pun bermula seawal abad ke-18 pada zaman Uthmaniyyah.

“Melalui republik, kita telah mencapai proses pembaharuan dan pemodenan yang lebih besar.

“Dalam erti kata lain, Turki adalah pengganti kerajaan Uthmaniyyah dan penubuhan asas-asas republik, dalam banyak perkara, adalah hasil daripada proses yang berlaku sejak zaman pemodenan Uthmaniyyah,” katanya.

Menyoroti pertumbuhan ekonomi Turki yang teguh sepanjang 100 tahun lalu sejak mencapai kemerdekaan, Yuksel turut menekankan pembangunan negaranya dalam sektor pertahanan, yang katanya telah mencapai kemajuan besar selepas Operasi Keamanan Cyprus pada 1974.

“Kami bangga dengan angkatan tentera kami. Pada masa yang sama, kami memahami sepenuhnya realiti bahawa kami perlu berdikari atau sekurang-kurangnya hampir berdikari dalam hal pertahanan.

“Pemahaman yang sama berlaku untuk operasi kami memerangi keganasan. Kami mempunyai produk industri pertahanan yang berkualiti dan dihasilkan di dalam negara untuk menyokong pasukan pertahanan kami dalam menangani pengganas,” katanya.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan Turki yang ke-100 di Kuala Lumpur, Yuksel mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang berkongsi semangat sambutan ulang tahun Republik Turki.

Beliau berbesar hati dan amat bertuah kerana dapat meraikan majlis istimewa itu di Kuala Lumpur, sambil menambah beliau percaya setiap warga Turki yang tinggal di Malaysia merasakan perkara sama.

“Sebagai Duta Turki di Kuala Lumpur, saya ingin menambah kata bahawa saya berasa amat gembira dan teruja kerana dapat meraikan hari penuh makna ini bersama saudara-saudara kita di Malaysia,” kata Yuksel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.