
Fahmi berkata, beliau mempunyai ramai rakan dalam kalangan pengamal media, terutama ketika menjadi kolumnis di The Star suatu ketika dahulu, justeru sedih apabila melihat rakannya serta pengamal media lain kehilangan kerja, terutama ketika wabak Covid-19.
“Saya rasa bertuah apabila Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) meminta saya menggalas tanggungjawab dan amanah ini yang membolehkan saya berkhidmat untuk membantu rakan-rakan saya,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Kinabalu Press Award 2023 malam tadi.
“Tempoh pandemik (Covid-19) menampakkan suatu senario yang amat mencabar. Mencabar bukan sahaja dalam sektor ekonomi tetapi juga kepada tuan puan (pengamal media) semua, banyak yang hilang kerja … kami akan cuba yang terbaik supaya wartawan di masa saya tiada yang kena diberhentikan.”
Majlis itu dirasmikan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor dan turut dihadiri Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Joniston Bangkuai, serta Presiden Sabah Journalist Association (SJA) Muguntan Vanar.
Fahmi berkata, dalam mendepani situasi itu, libat urus bersama pengamal media sebelum pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media di Parlimen dijangka Mac depan adalah penting supaya majlis itu antara lain mampu memainkan peranan menjaga kebajikan petugas media.
“Saya telah minta Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (Teo Nie Ching) mengadakan beberapa siri pertemuan dengan pengamal media selepas kita selesaikan beberapa perkara. Kami inginkan undang-undang yang lebih komprehensif sebelum melangkah ke hadapan,” katanya.
Fahmi berkata, beberapa tahun sebelum ini, berbilion telah melayang ke media sosial terutamanya Google, Meta dan Tik Tok, maka satu keadaan menang-menang mesti dicapai, terutamanya antara media sosial dan pertubuhan media.
“Ini penting supaya kita boleh memiliki media yang mampan, untuk mendapatkan media yang mampan kita perlukan libat urus dan situasi menang-menang serta satu kemenangan dalam media yang beretika baik.
“Kita mahu sebuah masa hadapan yang cerah untuk dunia kewartawanan dan tidak mahu lagi ada yang kehilangan kerja,” katanya.