1 daripada 3 rakyat kongsi kata laluan perbankan, kata timbalan gabenor BNM

1 daripada 3 rakyat kongsi kata laluan perbankan, kata timbalan gabenor BNM

Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, lebih 70% rakyat Malaysia tidak mengendahkan faktor keselamatan ketika berurusan di platform kewangan digital.

Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, tindakan berkongsi kata laluan perbankan akan mendedahkan mereka dengan penipuan kewangan.
PETALING JAYA:
Seorang daripada tiga rakyat Malaysia berkongsi kata laluan perbankan mereka, manakala lebih 70% individu di negara ini tidak mengendahkan faktor keselamatan ketika berurusan di platform kewangan digital.

Timbalan Gabenor Bank Negara, Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, tindakan berkongsi kata laluan perbankan akan mendedahkan mereka dengan penipuan kewangan.

“Sejak tahun lalu, inisiatif untuk meningkatkan celik kewangan digital dilancarkan oleh FEN (Jaringan Pendidikan Kewangan) dan industri kewangan, termasuk program jelajah FEN ke luar bandar dan institusi pengajian tinggi yang memberi tumpuan kepada pengukuhan keselamatan siber pengguna kewangan.

“Justeru, program literasi kewangan FEN Proaktif yang dilancarkan semalam untuk belia di institusi pengajian tinggi turut mengintegrasikan modul celik kewangan digital.

“Oleh itu, dengan persekitaran kewangan dan ekonomi sangat dinamik, perjalanan memperkasakan pendidikan kewangan tidak ada titik noktahnya,” katanya menurut Sinar Harian berucap pada Majlis Penutup Karnival Celik Kewangan Sempena Bulan Literasi Kewangan di Kulai hari ini.

Dalam perkembangan lain, katanya, pandemik Covid-19 membuka peluang baharu kepada perniagaan untuk beralih ke dalam talian atau menumpukan agenda ekonomi hijau.

Katanya, Bank Dunia turut menganggarkan 79% rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan kewangan digital pada 2021 dengan 45% menggunakannya buat julung kali.

“Perkembangan ini sememangnya membuka peluang ekonomi baharu kepada rakyat Malaysia, terutama peniaga dalam meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos dan meneroka model perniagaan baharu lebih berdaya saing.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.