
Dalam kenyataan SKMM berkata, sebarang perkongsian kandungan melibatkan mangsa nahas boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Berkongsi gambar mahupun rakaman video mangsa nahas berkenaan bukan sahaja boleh menyinggung perasaan keluarga mangsa malah melanggar prinsip serta etika paling asas.
“Adalah penting untuk semua individu untuk membuat pertimbangan sewajarnya dengan menurunkan gambar mangsa tragedi dan tidak menyebar atau berkongsi lanjut kandungan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, bekas menteri agama, Zulkifli Mohamad Al-Bakri menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan gambar atau video nahas pesawat terhempas itu.
“Haram sebarkan video atau gambar mangsa yang rentung dalam tragedi tersebut. Itu akan melukakan hati keluarganya, juga melibatkan maruahnya,” katanya dalam catatan di Twitter.
Pesawat Beechcraft Model 390, yang membawa lapan individu termasuk dua anak kapal, dan seorang exco Pahang terhempas di Lebuhraya Guthrie petang semalam.
Pemandu kereta dan penunggang motosikal turut maut selepas dirempuh pesawat malang itu.