
Ketua Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia, Nurfitri Amir Muhammad, yang mencadangkan perkara itu mempersoalkan bagaimana pesawah mengetahui ketepatan pengiraan peratus keuntungan bersih tanpa sebarang rujukan maklumat.
“Tanpa senarai keuntungan bersih daripada import beras serta laporan tahunan dikeluarkan Bernas pada awalnya, agak susah untuk pesawah mengetahui jumlah keuntungan sebenar yang diraih.
“Kalau macam ini bagaimana mereka pastikan kiraan perkongsian 30% keuntungan itu tepat atau tidak?” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, perkongsian keuntungan bersih daripada import beras itu sememangnya tanggungjawab sosial patut dilaksanakan Bernas yang sekian lama tertangguh.
Nurfitri turut mempersoalkan bagaimana sumbangan keuntungan itu dapat diperoleh pesawah secara terus, bukannya dibelanjakan dalam projek yang langsung tidak memberikan manfaat kepada golongan terbabit.
Mengenai peruntukan RM1.6 bilion untuk meneruskan penyaluran subsidi dan insentif kepada pesawah, Nurfitri berpendapat perkara itu tidak pelik kerana ia wajib dilaksanakan kerajaan.
“Disebabkan harga beras dikawal pada RM2.60 sekilogram, maka harga lantai padi turut terhad. Ini bermaksud margin keuntungan bagi pesawah pun terhad.
“Ini kerana jika harga sebenar beras diapungkan, ia sebenarnya boleh mencecah RM7 hingga RM8 sekilogram berbanding harga beras kini,” katanya.
Beliau berkata, tiada persoalan untuk kerajaan kekal menyalurkan subsidi kepada pemain industri padi dan beras setiap tahun.
“Kecuali jika harga beras diapungkan, kemudian ia menjadi pasaran terbuka. Namun masalahnya akan mengakibatkan rakyat terbeban dengan harga beras mahal,” katanya.
Bagaimanapun, Nurfitri menghargai langkah kerajaan dan Bernas kerana ia adalah perkembangan positif dalam mempertahankan kebajikan pesawah.
Ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat 24 Feb lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Bernas bersetuju membuat perkongsian keuntungan daripada import beras dengan menyumbang 30% keuntungan bersih kepada pesawah.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM1.6 bilion untuk meneruskan penyaluran pelbagai subsidi dan insentif seperti harga padi, baja dan padi huma, serta pemberian sumbangan tunai RM200 sebulan untuk tempoh tiga bulan atau semusim melibatkan peruntukan RM228 juta.