
Pengerusi Barisan Nasional itu, berkata Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh telah mengemukakan senarai nama calon exco serta portfolio kepadanya, selain sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertua Negeri Ali Rustam.
Katanya, barisan exco dilantik turut diisi parti lain yang membentuk kerajaan perpaduan di peringkat pusat, selain wakil BN sendiri.
“Terdapat perubahan bukan sahaja dari segi portfolio, tetapi perubahan beberapa nama dan mungkin ada wujud jawatan timbalan exco untuk beberapa portfolio tertentu.
“Saya ingin mengesahkan bahawa rakan kita dalam kerajaan perpaduan di peringkat pusat akan diperkirakan untuk dibariskan dalam exco,” katanya ketika menghadiri Majlis Santunan Kasih Ramadan, di PPR Seri Semarak.
Beliau yang juga timbalan perdana menteri, berkata BN bersedia berkongsi kuasa walaupun menguasai sebahagian besar kerusi, pada pilihan raya negeri, yang diadakan pada November 2021.
“Pada hemat saya ini merupakan satu optik baharu bukan sahaja mendokong kerajaan perpaduan di pusat tetapi di negeri, biarpun BN menang 21 kerusi dari 28 DUN dalam pilihan raya negeri lalu, tetapi atas semangat kerajaan perpaduan kita turut kongsi untuk sama-sama dengan rakan parti lain,” katanya.
Ditanya nasib Adun Rembia, Muhamad Jailani Khamis, sama ada akan dikekalkan sebagai exco atau dikenakan tindakan selepas menentang pelantikan ketua menteri baharu, Zahid menyerahkan perkara itu kepada Rauf.
“Jika ada berbeza pendapat, janganlah menggunakan saluran di luar daripada kerajaan negeri yang ada dan gunalah saluran parti, itu langkah terbaik,” katanya.
Semalam, Rauf dilaporkan akan mengumumkan senarai exco terbaharu dalam tempoh 48 jam selepas mengangkat sumpah jawatan pada Jumaat.