
Ketua Pengarah Kastam, Anis Rizana Mohd Zainudin, berkata tindakan itu selaras perkara digariskan dalam syarat lesen bagi pihak yang didapati tidak mematuhi perundangan.
“Tindakan tegas akan diambil jika pemegang lesen import menyalahgunakannya. Tindakan boleh diambil termasuk menggantung, membatalkan lesen dan menyenarai hitam ahli lembaga pengarah atau syarikat,” katanya kepada FMT.
Kenyataan Anis menyusul pengumuman Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 13 Okt lalu, kerajaan akan memperketat langkah kawalan penyeludupan produk minuman keras bermula 1 Jan tahun depan.
Anwar berkata, aktiviti pindah kapal (transhipment) produk minuman keras juga akan dihadkan di pelabuhan tertentu sahaja.
Sementara itu, Anis berkata lesen import adalah mekanisma kawalan yang dilaksanakan untuk mengawal pengimportan barang larangan dan menghalang penyeludupan barangan kritikal terutama melibatkan rokok dan minuman keras.
Beliau berkata, lesen import membolehkan kerajaan melalui kastam memantau syarikat yang diberi kebenaran mengimport minuman keras seperti syarat ditetapkan.
“Sebarang lebihan kuantiti di pasaran berbanding jumlah dibenarkan import menjadi indikator bahawa terdapat komoditi minuman keras yang diimport secara tidak sah diseludup ke negara kita.
“Sebagai langkah kawalan berterusan, minuman keras hendak dipasarkan perlu dilekatkan setem cukai yang sah mengikut pasaran yang akan dibuat,” katanya.
Anis berkata, hanya pemegang lesen yang diluluskan sahaja boleh membuat pesanan setem cukai mengikut kuantiti diimport.
“Selain itu berkata pemegang lesen juga perlu mengemukakan laporan bulanan kepada kastam,” katanya.