Jangan agresif potong subsidi diesel, gesa pemain industri

Jangan agresif potong subsidi diesel, gesa pemain industri

Persatuan pengusaha stesen minyak dan persatuan pengangkut gesa rasionalisasi dilaksana berfasa bagi memastikan semua pihak 'membiasakan diri'.

Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (Pdam), Khairul Abdul Aziz mencadangkan subsidi diesel dipotong 10 sen seliter setiap bulan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pemain industri mencadangkan rasionalisasi subsidi diesel dilaksanakan secara berperingkat dan tidak terlalu agresif.

Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (Pdam), Khairul Abdul Aziz berkata, peningkatan berperingkat dalam harga diesel memberi masa pengusaha untuk mengumpul semula modal selain mengimbangi kos kesan inflasi.

“Kami percaya peningkatan dalam harga perlu dibuat secara bulanan dengan maksimum 10 sen seliter setiap bulan,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Okt, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan subsidi diesel akan dirasionalisasi secara berperingkat dengan diberikan pengecualian kepada syarikat logistik.

Bagaimanapun, Khairul ambil maklum tiada disebut subsidi diesel kepada pemilik kenderaan persendirian.

“Saya rasa kerajaan perlu menjelaskan lebih lanjut supaya tidak timbul rasa tidak puas hati,” katanya.

Presiden Persatuan Pengangkut Malaysia (AMH), Soo Chee Yeong berkata, syarikat pengangkut akan menerima manfaat daripada subsidi diesel memandangkan negara ini sangat berdaya saing dalam pasaran logistik antarabangsa.

Beliau bersetuju kerajaan hanya perlu memberi subsidi kepada pengguna tertentu bagi memerangi penyeludupan.

Namun, beliau berkata, ekonomi Malaysia terlalu bergantung kepada subsidi diesel, justeru pemotongan dan perubahan terhadap subsidi bersasar tidak boleh terlalu agresif.

“Kita memerlukan tempoh interim untuk semua orang membiasakan diri, mungkin pengurangannya (subsidi diesel) kepada 15 ke 20% secara tahunan untuk menjadikan ia diterima baik semua,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.