‘Geng Jiva’ tumpas, polis tahan 4 individu termasuk ketua kumpulan

‘Geng Jiva’ tumpas, polis tahan 4 individu termasuk ketua kumpulan

Kumpulan itu melakukan jenayah samun bersenjata, pecah rumah serta mendatangkan kecederaan semasa menyamun di sekitar Ipoh, menurut polis.

Kesemua suspek terbabit ‘Geng Jiva’ yang diberkas Selasa lepas didapati mempunyai rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan jenayah, menurut polis.
IPOH:
Polis menumpaskan kumpulan samun bersenjata dikenali sebagai “Geng Jiva” selepas menahan empat individu termasuk ketua kumpulan itu dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Syabas Selasa lepas.

Ketua Polis Ipoh Yahaya Hassan berkata, penahanan tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan itu dipercayai dapat menyelesaikan 24 kes jenayah kekerasan dan 34 jenayah harta benda disyaki dilakukan kumpulan itu di sekitar Ipoh, Perak.

“Kita percaya telah melumpuhkan Geng Jiva yang dipercayai aktif menyamun di beberapa taman perumahan, selepas memberkas empat suspek berusia 26 hingga 35 tahun, termasuk ketua kumpulan, yang dikehendaki pihak polis,” katanya malam tadi.

Beliau berkata, kumpulan itu melakukan jenayah samun bersenjata, pecah rumah serta mendatangkan kecederaan semasa menyamun di sekitar Ipoh, khususnya di Taman Canning, Taman Ipoh Timur dan Bercham.

Menurut Yahaya, ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek termasuk seorang wanita, positif dadah jenis methamphetamine. Keempat-empat suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan jenayah.

Yahya berkata, kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.