
Timbalan Ketua Polis Perak Azizi Mat Aris berkata, keseluruhan dadah seberat 547.52kg dan 11,283.18 liter, membabitkan 3,706 kertas siasatan.
“Dadah berkenaan terdiri daripada 4.57kg heroin; ganja (7.6 kg); syabu (2.61kg); ketamin (77g); ekstasi (6.4g); pil khayal (4.1g); eramin 5 (76g); daun ketum (529.9kg); monoacetylmorphine (23.9g); lain-lain dadah (23g); ubat batuk (1.915 liter); diphenhydramine (11,281.3 liter); dan phenazepam (0.0002 liter).
“Proses pelupusan akan dilakukan hari ini oleh sebuah syarikat kontraktor yang dilantik di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak di IPK Perak hari ini.
Sementara itu, Azizi berkata, seramai 1,891 individu ditahan atas pelbagai kesalahan mengedar dadah sepanjang Januari hingga September tahun ini, meningkat 23 kes berbanding tahun lepas.
“Daripada jumlah tersebut, 559 individu ditangkap bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, manakala 76 yang lain didakwa bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, seramai 8,611 individu ditangkap kerana memiliki dadah sejak Januari hingga September tahun ini, meningkat 7% berbanding 8,084 individu ditangkap sepanjang 2022.
“Jumlah rampasan dadah bagi kes mengedar dan memiliki ini menghasilkan rampasan berjumlah RM49 juta dengan rampasan tertinggi melibatkan eramin 5, heroin dan syabu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, katanya, polis berjaya membongkar operasi lapan makmal haram dadah dan menahan seramai 21 individu yang menjalankan kegiatan berkenaan pada tahun ini.