Kastam rampas syabu lebih RM15 juta diisytihar barangan minuman

Kastam rampas syabu lebih RM15 juta diisytihar barangan minuman

Pengarah Kastam Sabah Ahmad Taufik Sulaiman berkata taktik itu dipercayai digunakan sindiket bagi mengelirukan pihak berkuasa dan mengelak dikesan.

Pengarah Kastam Sabah Ahmad Taufik Sulaiman (dua dari kiri) menunjukkan 305.722kg syabu yang dirampas hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena dari Pelabuhan Klang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Syabu bernilai lebih RM15 juta dirampas Jabatan Kastam Sabah selepas membongkar taktik sindiket mengikrarkan dadah itu sebagai barangan minuman melalui kontena di Pelabuhan Sepanggar.

Pengarah Kastam Sabah, Ahmad Taufik Sulaiman, berkata methamphetamine dengan anggaran nilai pasaran RM15,286,100 dirampas 22 April lalu hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena berukuran 12m yang tiba dari Pelabuhan Klang.

“Hasil pemeriksaan menemui 15 kotak yang disyaki mengandungi methamphetamine dengan berat kasar 305.722kg,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di Kota Kinabalu.

Beliau berkata, kontena itu diikrar sebagai “drink stuff” dalam dokumen penghantaran, tetapi pemeriksaan lanjut mendapati ia sebenarnya mengandungi dadah.

Jelasnya, taktik itu dipercayai digunakan sindiket bagi mengelirukan pihak berkuasa dan mengelak dikesan dalam pemeriksaan awal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memperketat kawalan di pintu masuk negara, khasnya pelabuhan bagi mengekang aktiviti penyeludupan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan diminta menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam berhampiran, dengan jaminan identiti pemberi maklumat dirahsiakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.