Perbicaraan 1MDB Najib, pendakwaan mohon pinda 3 tuduhan

Perbicaraan 1MDB Najib, pendakwaan mohon pinda 3 tuduhan

Bagaimanapun peguam bekas perdana menteri itu membantah, katanya pindaan itu boleh menjejaskan kes pembelaan.

Najib Razak dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.(Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pihak pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB Najib Razak memohon untuk meminda tiga daripada 25 tuduhan yang dikenakan terhadap bekas perdana menteri tersebut.

Timbalan pendakwa raya Kamal Bahrin Omar memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bahawa pihak pendakwaan ingin meminda satu tuduhan salah guna kuasa dan dua tuduhan penggubahan wang haram.

Kamal berkata pindaan tersebut perlu susulan keterangan penganalisis Bank Negara Malaysia (BNM) Adam Ariff Roslan.

Beliau berkata pihak pendakwaan bercadang untuk meminda jumlah yang dinyatakan dalam tuduhan keempat salah guna kuasa yang dihadapi oleh Najib daripada RM49.9 juta kepada RM45.8 juta.

Kamal berkata saksi itu memberitahu mahkamah bahawa beliau telah menjejaki sejumlah RM45.8 juta daripada pinjaman RM975 juta yang diambil oleh 1MDB ke akaun Najib.

Berkenaan dua tuduhan pengubahan wang haram, Kamal berkata pihak pendakwaan memohon untuk meminda jumlah yang dinyatakan dalam tuduhan ke-10 dan ke-21, daripada RM652.6 juta kepada RM515.7 juta, dan daripada RM12.4 juta kepada RM11.4 juta.

Beliau berkata cadangan pindaan dalam dua tuduhan tersebut datang selepas pegawai penyiasat Foo Wei Min memberikan keterangannya.

Menjawab soalan dari Sequerah, Kamal berkata pindaan kepada ketiga-tiga tuduhan tersebut memberi kesan kepada pengurangan jumlah yang terlibat.

Bagaimanapun, peguam Najib, Shafee Abdullah, membantah cadangan pindaan itu, katanya ia boleh memberikan implikasi serius kepada kes pembelaan.

Beliau meminta agar pasukan pembelaan diberikan sehingga esok untuk menyediakan jawapan mereka.

Najib berdepan 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan dalam akaun AmBank beliau antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.