Lesen operasi Lynas Malaysia diperbaharui

Lesen operasi Lynas Malaysia diperbaharui

Syarikat nadir bumi akan dibenarkan mengimport dan memproses bahan itu sehingga Mac 2026.

Lynas mengoperasikan kilangnya di Gebeng, Pahang. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Operasi lesen Lynas Malaysia telah diperbaharui justeru membolehkan syarikat itu terus mengimport dan memproses nadir bumi, sehingga Mac 2026.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang, berkata keputusan itu dibuat Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) yang bersidang pada 23 Okt.

“LPTA telah membuat pertimbangan untuk mengemas kini syarat lesen operasi Lynas yang sedang berkuat kuasa meliputi kebenaran mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semula jadi (NORM) sehingga tamat tempoh sah lesen, iaitu pada Mac 2026.

“Pertimbangan ini juga membenarkan aktiviti ‘Cracking & Leaching’ (C&L) diteruskan tertakluk kepada syarat bahawa Lynas hendaklah memastikan kandungan radioaktif dalam residu Water Leach Purification (WLP) di bawah 1 Bq/g melalui program R&D yang diterajui oleh pakar tempatan,” katanya pada sidang media di Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).

Chang berkata, keputusan LPTA dibuat berdasarkan dapatan kajian awal di peringkat makmal yang menunjukkan bahan radioaktif thorium boleh diekstrak keluar daripada residu WLP sehingga residu ini boleh dilepaskan daripada kawalan perundangan di bawah Akta 304.

“Mosti yakin dengan perkembangan ini, operasi berkaitan menepati kawalan perundangan, melindungi kepentingan rakyat, dan seterusnya negara akan mampu menarik pelaburan yang berbillion ringgit nilainya dalam industri nadir bumi tempatan bagi menyokong industri pembuatan bahan termaju berteknologi tinggi,” katanya.

Pada Mei lalu, Chang berkata, rayuan Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) berhubung keputusan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) yang menolak permohonan untuk menggugurkan empat syarat lesen yang ditetapkan sebelum ini kekal.

Jumaat lalu, Lynas bercadang menutup sementara semua operasi di Malaysia pada suku Disember bermula pertengahan November tahun ini kecuali untuk pemprosesan Campuran Nadir Bumi Karbonat (MREC).

Sebelum ini media melaporkan, Lynas mengemukakan rayuan supaya kerajaan memperbaharui lesen bagi memastikan operasi kilang mereka di Gebeng, Kuantan dapat diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.