
Felda dan FGV memaklumkan operasi kini dapat diteruskan secara normal dan mereka kembali memberi tumpuan kepada peningkatan hasil, pengukuhan pendapatan keluarga peneroka serta pembangunan komuniti di tanah rancangan.
Katanya, perkembangan tersebut bukan sahaja mengembalikan keyakinan dalam kalangan peneroka dan pekerja malah memastikan ekosistem ekonomi setempat terus stabil.
“Perkembangan ini memberikan kelegaan besar kepada peneroka yang selama beberapa minggu ini berdepan ketidakpastian tentang pendapatan, masa depan keluarga dan kelangsungan hidup mereka.
“Sejak awal, keutamaan kami adalah memastikan kebajikan, keselamatan ekonomi serta ketenteraman emosi peneroka khususnya anak jati Terengganu terus terpelihara,” kata Felda dan FGV dalam kenyataan bersama, lapor Bernama.
Felda dan FGV turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Terengganu atas komitmen serta kesediaannya untuk terus mengadakan perbincangan secara profesional.
“Kerjasama ini amat bermakna kerana pada akhirnya, kesejahteraan peneroka yang menjadi tunjang dan nadi Felda sejak penubuhan adalah kepentingan bersama yang mesti terus dipertahankan,” katanya.
Semalam, kerajaan Terengganu setuju melanjutkan tempoh remedi kepada FGV berhubung notis larangan menceroboh tanah hingga 7 Jan ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Zulkifli Ali, berkata semua notis dikeluarkan kepada lembaga pengarah FGV dihentikan malah mereka dibenar meneruskan operasi ladang di Terengganu.
“Dalam tempoh remedi (selama sebulan) ini, perbincangan ke arah memuktamadkan terma dan syarat perjanjian akan diadakan.
“Pada masa sama, kerajaan negeri juga bersetuju memberi kelonggaran kepada FGV bagi meneruskan operasi semua ladang mereka di Terengganu berkuat kuasa serta merta,” katanya dalam kenyataan.
Kerajaan Terengganu pada 30 Nov lalu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah diusahakan Felda di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar, mendakwa selama lebih 40 tahun tanah berkenaan diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan.
Penyerahan notis dilakukan serentak kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.