
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, S Jegan, berkata dua pemandu lori tempatan berusia 40-an itu ditahan menerusi Ops Tiris pada 4.45 pagi di Juru serta 7.30 pagi di Simpang Ampat, hasil risikan dan intipan pihaknya sejak seminggu lalu.
“Dalam serbuan pertama di Juru, kami menahan sebuah lori merah yang sedang mengisi minyak dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan awal menemui enam tangki simpanan berkapasiti 1,000 liter digunakan untuk mengisi diesel. Terdapat 4,800 liter diesel dalam semua tangki itu.
“Dalam serbuan kedua, kami cuba menahan sebuah lori putih sedang mengisi minyak diesel dan sebaik menyedari kehadiran penguat kuasa, pemandu lori itu bertindak agresif melarikan diri dengan merempuh kenderaan KPDN, namun hasil bantuan polis dan Unit Risik KPDN, kami berjaya menahan suspek,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata hasil pemeriksaan menemui tiga tangki minyak diesel berkapasiti 1,000 liter dalam lori itu yang mengandungi 600 liter bahan api berkenaan.
Siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai membeli diesel dari beberapa stesen minyak mengikut harga subsidi, sebelum menjual kepada pembeli pada harga lebih mahal.
Katanya pemeriksaan mendapati dua lori itu diubah suai untuk mengisi diesel dalam kuantiti banyak dan suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.