
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) meminta menteri dalam negeri menyatakan pendirian kerajaan berhubung isu 3R serta asas perundangan yang diguna pakai untuk melarang rakyat Malaysia daripada menyentuh perkara tersebut.
Muhyiddin mengemukakan soalan itu ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.
Dalam sesi sama, Lo Su Fui (GRS-Tawau) meminta menteri dalam negeri menyatakan usaha penyelesaian isu penduduk yang tidak mempunyai dokumen disebabkan oleh pendaftaran lewat, kematian bapa dan ibu warganegara, kehilangan sijil nikah dan perkara-perkara lain.
Selain itu, Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) meminta menteri pengangkutan menyatakan sebab Malaysia Airlines menamatkan perkhidmatan katering dalam penerbangan Brahim’s Food Services Sdn Bhd sebelum melantik katerer yang baru.
Sidang hari ini juga akan menyambung sesi perbahasan Belanjawan 2024 yang masuk hari kelima, selepas ia dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 13 Okt lepas.
Berdasarkan takwim Dewan Rakyat, Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 itu akan dibahas pada peringkat dasar selama lapan hari, sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 30 Okt.
Ahli-Ahli Parlimen akan mengambil bahagian dalam perbahasan RUU berkenaan pada peringkat jawatankuasa selama 12 hari bermula 6 Nov.
Sidang Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 32 hari bermula 9 Okt hingga 30 Nov ini.