RTS Link mesti jadi model baharu projek besar, pembangkang gesa kerajaan

RTS Link mesti jadi model baharu projek besar, pembangkang gesa kerajaan

Pembangkang mahu RTS Link jadi projek paling telus dan paling dipantau, menekankan sifar kecacatan, sifar kompromi, dan sifar toleransi.

rts link johore
Caption: RTS Link adalah rangkaian tren ulang-alik sepanjang kira-kira 4km panjang yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura.
KUALA LUMPUR:
Sistem Transit Aliran Johor Bahru–Singapura (RTS Link) mesti menjadi model baharu bagi projek besar tanahair, menekankan tiga perkara iaitu sifar kecacatan dari segi teknikal, sifar kompromi berkenaan kedaulatan, dan sifar toleransi terhadap ketirisan.

“Jika kerajaan benar-benar mahu projek ini menjadi kebanggaan negara, maka jadikan ia projek paling telus dan paling dipantau dalam sejarah Malaysia–Singapura,” tegas Dr Halimah Ali (PN-Kapar) ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) RTS Link Johor Bahru-Singapura di Dewan Rakyat.

Halimah berkata beliau menyokong projek transit merentasi Selat Johor itu, yang disifatkan sebagai strategik, namun “sejarah mengajar kita bahawa projek mega tanpa disiplin tadbir urus akan merosakkan keyakinan rakyat”.

“Rakyat masih ingat gangguan berpanjangan sistem Aerotrain KLIA yang berusia lebih 25 tahun sehingga operasi dihentikan, menjejaskan imej pintu masuk utama negara. Kelewatan penggantian sistem, kos meningkat, dan gangguan operasi memberi kesan langsung kepada reputasi Malaysia sebagai hab penerbangan antarabangsa.

“Dalam kes LCS (kapal tempur pesisir), walaupun ia bukan projek prasarana, polemik mengenai agihan, ketelusan dan keutamaan penerima menunjukkan satu perkara penting. Apabila ketelusan lemah, persepsi negatif akan mengatasi niat baik,” katanya.

Halimah menekankan pelan penyelenggaraan jangka panjang yang jelas, termasuk kewajipan penyelenggaran kitaran hayat (lifecycle maintenance) dan bukan sekadar bina dan serah.

“Siapa bertanggungjawab jika sistem gagal selepas beberapa tahun? RTS tidak boleh menjadi Aerotrain versi kedua dalam konteks rel rentas sempadan. Adakah butiran kontrak boleh diteliti? Adakah audit bebas diumumkan kepada umum? Bagaimana konflik kepentingan dicegah?” katanya.

RTS Link adalah rangkaian tren ulang-alik sepanjang kira-kira 4km panjang yang menghubungkan Malaysia dengan Singapura, merangkumi laluan di antara dua stesen iaitu di Bukit Chagar, Johor Bahru dan di Woodlands North, Singapura

RUU RTS Link digubal bagi membolehkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang dilakukan tanpa menjejaskan undang-undang sedia ada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.