
Naib Presiden Khaled Nordin berkata langkah bertanding pada PRK itu juga bagi memberi pilihan kepada pengundi.
“Sama ada menang atau kalah itu bukan persoalannya, ia juga bukan soal berani atau takut. Tetapi bila ada PRK, ia beri peluang kepada kita berjumpa dengan rakyat dan terangkan mengenai prinsip perjuangan serta perancangan parti dan sebagainya.

“Jadi, terserahlah kepada rakyat sama ada mereka nak terima atau tidak. Kalau PAS yakin boleh menang besar, buat apa mereka takut kalau kita masuk, insya-Allah kita akan letak calon,” katanya menurut Utusan Malaysia ketika menghadiri program di Pasir Gudang.
Menurut laporan, Ketua Penerangan Bersatu Razali Idris, berkata belum terlambat untuk Umno menarik diri daripada PRK Kemaman.
Katanya, langkah itu bagi mengelak kekalahan memalukan Umno seperti berlaku pada PRK Parlimen Kuala Terengganu sebelum ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Kemaman 2 Dis ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 dan 28 Nov.
Pada 25 Sept, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili PAS selepas membenarkan petisyen pilihan raya dikemuka seorang pengundi, Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil.
Hakim Anselm Charles Fernandis membuat keputusan selepas mendapati pempetisyen berjaya membuktikan elemen rasuah bertujuan mempengaruhi pengundi.