
Di pusat penamaan calon Dewan Suarah, Bintulu, Pegawai Pengurus PRK DUN Jepak Abang Zainuddin Abang Turkey mengumumkan penerimaan kertas pencalonan daripada calon GPS Iskandar Turkee, 54; calon Aspirasi Chieng Lea Phing, 65; dan calon PBK Stevenson Joseph Sumbang, 42.
Terdahulu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan, daripada 22,804 pengundi berdaftar di Jepak, 22,761 terdiri daripada pengundi biasa dan 43 anggota polis.
Bagaimanapun, turut dilaporkan tiada pusat pengundian awal dibuka kerana 43 anggota polis terbabit akan menghantar undi pos.
Menurut The Borneo Post, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, yang juga ketua whip GPS, menggesa kerusi itu dibiarkan tanpa pertandingan, tetapi Presiden PBK Voon Lee Shan berkata, langkah membiarkan GPS memperoleh PRK Jepak tanpa pertandingan boleh “membunuh demokrasi”.
Kerusi itu kosong berikutan kematian penyandangnya, Talib Zulpilip, pada 15 Sept.
Adun enam penggal daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), komponen utama GPS, itu meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang.
Talib, bekas menteri integriti dan ombudsman negeri, memenangi kerusi Jepak pada PRN 2021 dengan majoriti 4,243 undi.
Kedua-dua gabungan Semenanjung, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), memilih untuk tidak bertanding pada PRK itu.