Fitnah bekas pegawai, Ahli Parlimen PKR diarah bayar RM80,000

Fitnah bekas pegawai, Ahli Parlimen PKR diarah bayar RM80,000

Mahkamah Rayuan memutuskan R Indrani memenuhi semua elemen dalam tuntutan fitnah itu.

Mahkamah Rayuan mengarahkan Ahli Parlimen Sungai Siput MP S Kesavan membayar ganti rugi RM80,000 kepada bekas pegawai penyelidiknya.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan mengarahkan Ahli Parlimen Sungai Siput MP S Kesavan membayar RM80,000 kepada bekas pegawai penyelidiknya selepas beliau didapati memfitnah wanita itu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Kamaludin Said berkata R Indrani telah membuktikan kesnya berdasarkan timbangan kebarangkalian.

“Semua elemen dalam tuntutan fitnah telah dipenuhi,” katanya yang membenarkan rayuan wanita itu dengan kos RM20,000.

Dua lagi panel hakim adalah Hashim Hamzah dan Collin Lawrence Sequerah.

Kamaludin berkata hakim bicara terkhilaf apabila memutuskan Indrani dan Kesavan terbabit dalam kelakuan yang memalukan tanpa membenarkan kedua-dua pihak membuat hujahan tentang perkara ini.

Terdahulu, peguam Rueben Mathiavaranam, yang mewakili Indrani, berhujah bahawa hakim bicara juga gagal menentukan sama ada Kesavan bertanggungjawab atas fitnah apabila defendan memilih bahawa dia tidak mempunyai kes untuk dijawab.

Indrani memfailkan saman itu selepas Kesavan membuat kenyataan tentangnya dalam satu sidang akhbar pada 18 Mei 2019, yang turut diterbitkan di portal berita dan kemudian dimuat naik ke Facebook.

Dia mendakwa kenyataan itu mencadangkan bahawa dia tidak suci, suka menggoda defendan, dan perosak rumahtangga.

Hakim menolak tuntutan Indrani tahun lalu, dan menyatakan tidak senang mahkamah dijadikan tempat menyelesaikan pertikaian peribadi.

Kesavan diwakili peguam Azhar Arman Ali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.