Fadhli terkilan, PAS belum berjaya jernih persepsi bukan Islam

Fadhli terkilan, PAS belum berjaya jernih persepsi bukan Islam

Bekas ketua Pemuda PAS itu berkata jika usaha itu berjaya dilakukan, PAS akan menerajui pentadbiran di Putrajaya pada masa akan datang.

Bekas ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata cabaran paling besar Pemuda PAS adalah menyakinkan pengundi bukan Islam untuk mengundi parti itu dalam pilihan raya nanti.
SHAH ALAM:
Bekas ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari mengakui terkilan kerana PAS masih belum berjaya menjernihkan persepsi bukan Islam dan bukan Melayu terhadap parti itu.

Menurutnya, itu antara perkara yang belum dicapai semasa beliau memegang jawatan ketua Pemuda, sehingga melepaskan jawatan itu, semalam.

“Ini merupakan suatu tugasan paling besar yang saya tinggalkan kepada pasukan ini iaitu bagaimana PAS dapat dijernihkan persepsi dari pandangan bukan Islam.

“Ia supaya kita dapat menerobos masuk ke dalam pilihanraya dalam keadaan kita mendapat undi padu daripada pengundi Melayu, Islam, dan bukan Melayu. Ini satu cabaran,” kata Fadhli dalam ucapan terakhirnya selaku ketua Pemuda di Muktamar PAS malam tadi.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu lagi, sokongan pengundi bukan Islam terhadap PAS ketika era Pakatan Rakyat (PR) disebabkan pujukan DAP yang menjernihkan persepsi mereka terhadap parti itu.

“Masa kita berada dalam PR bukan Islam sangat jernih pemikiran terhadap kita tetapi rupa-rupanya penerimaan itu kerana mereka mencintai DAP kerana DAP membantu menjernihkan mereka.

“Kita tak boleh lagi bergantung kepada DAP untuk jernihkan fikiran (bukan Islam) kepada kita, tapi kita kena jernihkan mereka, persepsi mereka terhadap kita dengan penampilan kita sendiri,” katanya.

Jelas Fadhli, jika usaha itu berjaya dilakukan, PAS akan menerajui pentadbiran di Putrajaya pada masa akan datang.

Sementara itu, mengulas gesaan tersebut kepimpinan Pemuda PAS yang baharu berikrar akan menarik bukan Islam untuk mendekati parti itu dengan pendekatan yang boleh diterima golongan itu.

Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Muktamar Pemuda kali ini turut dihadiri bukan Islam, selain itu pihaknya turut memberikan pengiktirafan kepada tokoh bukan Islam

“Kami akan pikul tugas itu, untuk terus mendekati bukan Islam.. mereka boleh menerima pendekatan yang kita buat dan kita akan terus mendekati mereka dengan pendekatan-pendekatan yang mereka akan terima, dialog kita akan terus buat dan nampaknya semakin positif perkara tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Afnan berkata Pemuda PAS akan mengadakan himpunan besar-besaran di hadapan kedutaan Amerika Syarikat pada Jumaat depan bagi membantah serangan Israel terhadap Palestin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.