Kerjasama dengan PKR kekal buat masa ini, kata PAS P Pinang

Kerjasama dengan PKR kekal buat masa ini, kata PAS P Pinang

Nasib kerjasama dengan parti Anwar Ibrahim akan ditentukan Majlis Syura Ulama melalui muktamar parti tidak lama lagi

afnan-pas
PETALING JAYA:
Kerjasama dengan PKR di Pulau Pinang kekal sehingga diputuskan oleh Majlis Syura Ulama melalui muktamar parti, yang dijangka diadakan pada 29 April hingga 1 Mei.

Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Afnan Hamimi Taib Azamuddeen menjelaskan usul putus hubungan dengan parti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diluluskan di peringkat kawasan akan ditentukan perlu melepasi muktamar PAS Pusat terlebih dahulu, dan sekiranya lulus, akan diangkat ke majlis syura.

“Keputusan akhir terletak pada Majlis Syura Ulama PAS, kerana hubungan politik ini menggunakan hukum politik Islam dalam bab tahaluf siyasi. Oleh itu, bab hukum-hakam hanya majlis syura yang ada kuasa menentukan,” katanya kepada FMT.

Afnan berkata keputusan memutuskan hubungan dengan DAP sebelum ini juga melalui proses yang sama. PAS mengambil keputusan itu pada 2015 selepas pertelingkahan dengan rakan Pakatan Rakyat antara lain mengenai pelaksanaan undang-undang Islam di Kelantan.

Afnan dihubungi selepas PAS kawasan Permatang Pauh dan Bayan Baru pada Ahad meluluskan usul menggesa parti memutuskan hubungan dengan PKR, yang antara lain didakwa memujuk ahli keluar parti dan mencampuri urusan penfatwaan di Pulau Pinang.

Sekiranya usul diterima di peringkat pusat, ia dijangka membuka ruang kepada pertembungan antara PAS dan PKR di Permatang Pauh – kubu kuat Anwar – atau ahli PAS menyokong calon Umno menentang PKR.

“Saya tahu isu itu (cubaan pujuk ahli keluar parti),” kata Afnan. “Kita pernah tegur secara bersemuka dengan cara baik kepada pemimpin PKR negeri sebelum ini.”

“Kita nyatakan kepada mereka tindakan tersebut tidak betul,” tambahnya, tanpa mahu mendedahkan pemimpin PKR tersebut.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengesahkan isu kerjasama dengan PKR akan diputuskan pada muktamar mereka yang ke-63 ini, yang akan diadakan di Kota Sarang Semut, Kedah.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata mereka masih mahu berbincang tetapi menyerahkannya kepada pucuk pimpinan PAS untuk membuat keputusan.

Sebelum ini, video ucapan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disunting tular di media sosial, menyatakan PAS pada penggal depan mahu mentadbir 5 negeri iaitu Kedah, Terengganu, Perlis, Kelantan (yang diperintah PAS) dan Selangor (yang diketuai PKR).

Hadi nafi pernah membuat kenyataan seperti itu.

PAS Bayan Baru usul putus dengan PKR, Malik terus jadi sasaran

PAS Permatang Pauh mahu putus hubungan dengan PKR

Azmin serahkan kepada PAS kalau mahu putus hubungan dengan PKR

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.