
Kuala Lumpur: Azmi Saat, vokalis kumpulan Caliph Buskers yang baru empat hari menimang cahaya mata sulungnya setelah 10 tahun menunggu terpaksa menerima ketentuan ilahi apabila bayinya itu disahkan meninggal dunia di sebuah pusat perubatan petang tadi.
Azmi yang berkongsi berita duka tersebut di Instagramnya memaklumkan bahawa bayinya yang diberi nama Khairul Afnan dilahirkan pada 27 September lalu sudah ‘dijemput’ Allah SWT.
“Allah lebih menyayanginya. Afnan tunggu kami di syurga,” tulisnya ringkas.
Plantun lagu Hanya NamaMu itu sebelum ini berkongsi hantaran di Instagram bahawa dia bersama isterinya, Nazira Muhammad, 35, sedang memangku bayi mereka buat kali terakhir.
“Kami sedang riba Afnan buat kali terakhir. Beberapa minit saja lagi,” tulisnya.
Difahamkan sejak malam tadi Afnan diberi alat bantuan pernafasan dan Afnan meninggal dunia di pangkuan isterinya pada jam 1.19 petang tadi.
Menurut Pengurus Azmi, Syah Rahman doktor mengesyaki bahagian otak bayi itu mempunyai masalah kerana tidak bergerak dan terpaksa melakukan ujian imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) bagi mengetahui punca sebenar.
Terdahulu, Azmi meluahkan perasaan gembira dengan kelahiran Afnan setelah 10 tahun menanti untuk memiliki cahaya mata sendiri.
Nazira selamat melahirkan Khairul Afnan, seberat 3.3 kilogram pada jam 9.09 pagi, Isnin lalu di sebuah pusat perubatan menerusi kaedah pembedahan.
Azmi dan Nazira mendirikan rumah tangga pada 2011.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]