PRK Jepak: Ahli PAS akan sokong calon GPS, kata Tuan Ibrahim

PRK Jepak: Ahli PAS akan sokong calon GPS, kata Tuan Ibrahim

Timbalan presiden PAS itu berkata ahli PAS akan akur terhadap keputusan yang telah dibuat parti.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu mendokong kepimpinan Johari Openg dan GPS di Sarawak.
SHAH ALAM:
Ahli PAS akan menyokong calon daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRK DUN Jepak selepas Perikatan Nasional (PN) memutuskan tidak bertanding, kata Timbalan Presidennya Tuan Ibrahim Tuan Man.

Menurut Tuan Ibrahim, ahli PAS akan akur terhadap keputusan yang telah dibuat parti.

“Saya fikir begitu (ahli akan sokong). Kita mendokong kepimpinan Abang Jo (Johari Openg) dan GPS di Sarawak,” katanya dalam sidang media pada Muktamar Pemuda PAS kali ke-64 di Shah Alam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan PN yang tidak meletakkan calon di PRK Jepak dan adakah ahli PAS akan menyokong kepimpinan GPS yang diketuai Premier Sarawak Johari Openg.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut memberi amaran kepada mana-mana ahli PAS yang berhasrat mahu bertanding atas tiket bebas, keahlian mereka akan gugur secara automatik.

Semalam, Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata keputusan tidak bertanding PRK Jepak adalah bagi memberikan tumpuan mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman dalam PRK pada 2 Disember ini.

Selain PN, PKR Sarawak turut memutuskan tidak bertanding di PRK Jepak pada 4 November ini bagi menghormati mandat rakyat kepada GPS pada PRN 2021.

PRK Jepak diadakan susulan kematian penyandang Talib Zulpilip pada 15 September lalu.

Talib merupakan Adun Jepak selama lima penggal, dengan kemenangan terakhirnya pada PRN 2021 di mana calon GPS itu meraih majoriti 6,277 undi.

Hari penamaan calon PRK Jepak ditetapkan pada 21 Okt ini, manakala pengundian awal pada 31 Okt nanti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.