Kumpulan perniagaan bimbang jumlah pengunjung ke Labuan merosot

Kumpulan perniagaan bimbang jumlah pengunjung ke Labuan merosot

Dewan Perniagaan Labuan mahu satu kajian dibuat bagi mengenalpasti mengapa semakin kurang pengunjung datang ke pulau itu.

Dewan Perniagaan Labuan berkata kajian akan menentukan sama ada kemerosotan jumlah pengunjung berpunca daripada terhakisnya status Labuan sebagai pulau bebas cukai atau pemeriksaan ketat imigresen. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dewan Perniagaan Labuan bimbang dengan penurunan drastik jumlah kedatangan pelancong ke pulau itu, dan berkata ini mungkin menggambarkan kemerosotan ekonomi di wilayah tersebut.

Pengerusinya Dahlif Singh, menggesa satu kajian dibuat bagi mengenalpasti mengapa semakin kurang pelawat tiba di Terminal Feri Antarabangsa Labuan.

“Kajian boleh mengenalpasti adakah keadaan ini berpunca daripada terhakisnya status Labuan sebagai pulau bebas cukai sejak dua tahun lalu atau pemeriksaan ketat imigresen yang dikuatkuasakan,” katanya menurut Daily Express.

Putrajaya mula mengenakan cukai terhadap rokok dan produk tembakau di semua pulau bebas cukai termasuk labuan bermula 1 Jan 2021.

Pada Jun lalu, jumlah minuman beralkohol yang tidak dikenakan cukai turut dihadkan untuk dibawa keluar dari Labuan.

Sebelum ini, pengunjung boleh membawa keluar maksimum enam liter minuman beralkohol atau 24 tin bir keluar dari Labuan.

Bermula 1 Nov 2022, Jabatan Imigresen juga menguatkuasakan pemeriksaan masuk dan keluar untuk semua pengunjung wilayah persekutuan itu.

Cukai terminal feri juga dinaikkan kepada RM3 untuk perjalanan domestik antara Labuan dan Sabah atau Sarawak, dan RM5 untuk laluan ke Brunei. Ini menyebabkan harga tiket feri untuk ke destinasi tersebut naik.
BA Holdings Sdn Bhd yang menguruskan terminal itu berkata, kenaikan itu perlu kerana kali terakhir bayaran itu disemak adalah 17 tahun lalu.

Jumlah penumpang yang menaiki feri di terminal itu dilaporkan menurun kepada separuh dalam lima tahun kebelakangan ini, daripada 416,000 pada 2018 kepada hanya 211,285 pada tahun lalu.

Dahlif bersetuju ada kewajaran kenaikan bayaran terminal feri, tetapi ia sepatutnya menyediakan kemudahan dan perkhidmatan lebih baik termasuk dilengkapi penyaman udara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.