
Sebagai contoh, majikan yang membayar gaji pekerja mereka rendah akan mendapati sukar untuk mengekalkan mereka, kata Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (Samenta) William Ng.
“Jika majikan membayar kurang daripada bayaran pasaran, mereka juga akan mendapati sukar untuk menarik pekerja,” kata Ng kepada FMT.
Beliau berkata, kebanyakan syarikat lazimnya menyemak gaji kakitangan setiap tahun, bergantung pada prestasi perniagaan dan inflasi, membolehkan kemungkinan gaji tahunan naik.
Pada Isnin, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa syarikat swasta yang mencatatkan keuntungan besar supaya mengikut jejak langkah kerajaan, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024, dan menambah baik skim gaji pekerja.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, beliau menerima aduan daripada pekerja swasta bahawa gaji mereka tidak naik walaupun majikan melaporkan pendapatan kukuh.
Menyambut gesaan perdana menteri, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan kerajaan mengambil inisiatif untuk mencetuskan kenaikan gaji pekerja swasta.
Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor mencadangkan agar gaji minimum disemak semula setiap dua tahun.
“Kerajaan harus mengambil tindakan agresif jika majikan swasta tidak mengendahkan seruan perdana menteri,” kata Kamarul.
Sementara itu, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata, syarikat yang mampu menaikkan gaji pekerja harus berbuat demikian, bergantung pada prestasi perniagaan dan nilai pasaran mereka.
Presiden MEF Syed Hussain Syed Husman berkata, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat multinasional dan syarikat swasta besar harus menyokong gesaan perdana menteri.
“MEF menyeru perniagaan yang untung agar memberikan respons positif terhadap saranan perdana menteri supaya majikan sektor swasta menyemak semula kesesuaian imbuhan dan ganjaran untuk pekerja, dengan mengambil kira cabaran kos sara hidup semasa,” kata Syed Hussain.