Umum garis masa pengasingan kuasa peguam negara-pendakwa raya, kerajaan diberitahu

Umum garis masa pengasingan kuasa peguam negara-pendakwa raya, kerajaan diberitahu

Syed Ibrahim Syed Noh berkata reformasi lain seperti Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dan Akta Kebebasan Maklumat juga perlu ditekankan.

Syed Ibrahim Syed Noh berkata Belanjawan 2024 ‘akan lebih kukuh berdiri menafikan ketirisan dan kecelaruan struktur ekonomi’ jika ada garis masa pelaksanaan reformasi tatakelola.
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan berkata keyakinan rakyat dan pelabur boleh ditingkatkan jika Putrajaya memberi garis masa pelaksanaan reformasi tatakelola termasuk pengasingan kuasa antara peguam Negara dan pendakwa raya.

Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) berkata langkah itu membolehkan Belanjawan 2024 ‘akan lebih kukuh berdiri menafikan ketirisan dan kecelaruan struktur ekonomi’.

“Saya yakin pencerahan terkait garis masa praktikal reformasi tatakelola ini akan membawa impak baik seperti keyakinan rakyat, pasaran dan kepada pelaburan,” katanya di Dewan Rakyat.

Menurutnya, kerajaan juga perlu memberi garis masa berkaitan penggubalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, Akta Kebebasan Maklumat, pindaan Akta Rahsia Rasmi, Akta Perolehan Kerajaan dan Akta Perkhidmatan Parlimen.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said memaklumkan kajian ke arah usaha reformasi pengasingan peranan peguam negara dan pendakwa raya akan melalui tiga fasa.

Pada 11 Okt lalu, fasa pertama sesi libat urus bersama pihak berkepentingan telah diadakan bagi memberi fokus kepada pembentangan kajian literatur yang terperinci bagi amalan terbaik meliputi sembilan negara.

Fasa dua membabitkan meneliti secara komprehensif kesan perundangan, perjawatan dan kewangan dan menyediakan laporan interim untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

Sesi libat urus dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta pihak pemegang taruh lain akan diadakan pada fasa ketiga antaranya polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Majlis Peguam Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.