
Panel tiga hakim terdiri daripada Vazeer Alam Mydin Meera, Ahmad Zaidi Ibrahim dan SM Komathy Suppiah menangguhkan keputusan itu selepas selesai mendengar hujah peguam Salehuddin Saidin yang mewakili Isa dan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz yang mewakili pendakwaan.
Vazeer, yang mengetuai panel itu berkata, pejabat pendaftaran Mahkamah Rayuan akan memaklumkan pihak pendakwaan dan pembelaan mengenai tarikh keputusan itu.
Isa, 73, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 3 Feb 2021 atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh Felda.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC, di sini antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.
Hakim Mahkamah Tinggi, Nazlan Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan, menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun, jika gagal membayar denda itu.
Bagaimanapun, Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara itu berjalan serentak.
Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu memfailkan notis rayuan terhadap sabitan salah serta hukuman penjara dan denda terhadapnya pada 4 Feb 2021.
Beliau dibenarkan diikat jamin RM1.5 juta, selain perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan selesai.
Dalam prosiding hari ini, Salehuddin berhujah hakim perbicaraan sangat bergantung kepada keterangan bekas pembantu Isa, Muhammad Zahid Arip yang keterangannya bercanggah semasa pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan.
Beliau berkata, semasa pemeriksaan balas, Zahid menafikan fakta dia telah menyoal ahli perniagaan Sarawak, Ikhwan Zaidel berhubung dakwaan dana politik yang dikatakan diminta Isa melalui panggilan telefon, sedangkan Ikhwan dalam kenyataannya menyatakan Zahid yang bertanya mengenai perkara itu.
“Jadi, pihak siapa sebenarnya yang membuat permintaan untuk siapa? Adakah selamat untuk mahkamah menyabitkan Isa berdasarkan keterangan nyata tercemar dengan kepentingan peribadi kedua-dua saksi itu?” soal Salehuddin.
Beliau berkata, anak guamnya perlu dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan kerana fakta kes menunjukkan tiada bukti Isa menerima wang itu.
Beliau juga berhujah hakim Mahkamah Tinggi menggunakan prinsip undang-undang yang salah, selain gagal memberi perhatian sewajarnya kepada semua keterangan dalam mahkamah dan tidak menilai keterangan secara keseluruhan sebelum membuat kesimpulan.
Afzainizam bagaimanapun membalas dengan berkata Isa berhasrat mendapatkan suapan itu, walaupun tidak berurusan secara langsung dengan Ikhwan dalam mana-mana urus niaga melibatkan jumlah itu dibayar, suapan itu diterima olehnya (Isa) melalui Zahid.
Katanya, Zahid menyerahkan wang itu kepada Isa.
Beliau berkata, suapan itu dibayar kerana bimbang Isa mungkin menggunakan pengaruhnya membatalkan atau menangguhkan pembayaran bagi pengambilalihan hotel itu dan anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd sebelum ini menolak cadangan membeli hotel terbabit.
Katanya, terdapat keterangan daripada saksi pendakwaan termasuk Ikhwan bahawa jumlah wang itu dikeluarkan dan diberikan kepada Zahid untuk diberikan kepada Isa.