‘Kami tertekan, kemurungan’, kakitangan MYAirline dakwa terima gaji terakhir pada Ogos

‘Kami tertekan, kemurungan’, kakitangan MYAirline dakwa terima gaji terakhir pada Ogos

Seorang kakitangan yang enggan dinamakan berkata caruman KWSP dan Perkeso tidak dibayar sejak Mei walaupun pemotongan telah dibuat.

MYAirline menggantung sementara operasinya Khamis lalu yang menyebabkan 125,000 penumpang terjejas dan kerugian RM20 juta berdasarkan jualan tiket penerbangan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pekerja MYAirline yang terjejas susulan penggantungan operasi, Khamis lalu berharap masalah tunggakan gaji dan caruman KWSP serta Perkeso dapat diselesaikan segera.

Bercakap kepada FMT, kakitangan enggan dinamakan itu mendakwa gaji September yang sepatutnya dibayar selewat-lewatnya pada 7 Okt masih gagal dibayar manakala caruman pula tidak dibuat sejak Mei walaupun pemotongan telah dibuat.

Menurutnya, pengurusan syarikat hanya memberi alasan sedang mencari rakan strategik baharu, ketika ditanya perkembangan pembayaran gaji yang kali terakhir diterima pada Ogos.

“Keadaan kami terjejas teruk. Walaupun syarikat mengumumkan ia sebagai penggantungan ‘sementara’, gaji kami masih tak dibayar sehingga kini,” katanya yang meminta pihak berwajib tidak terlepas pandang nasib kakitangan, walaupun kebajikan penumpang menjadi keutamaan.

Berkongsi detik operasinya digantung, beliau berkata semua kakitangan bekerja seperti biasa pada Rabu, beberapa jam sebelum syarikat berusia dua tahun itu mengumumkan penggantungannya pada awal pagi Khamis dengan memberikan alasan “cabaran kewangan yang signifikan”.

Dakwanya, mereka hanya dimaklumkan penggantungan operasi kira-kira 5 pagi Khamis daripada e-mel Jabatan Sumber Manusia yang meminta semua kakitangan bekerja dari rumah dan menggunakan cuti tahun sehingga “suatu tempoh dimaklumkan kelak”.

“Sebelum itu, semua nampak biasa, tak ada kecoh-kecoh. Cuma pihak pengurusan ada maklumkan yang syarikat sedang berdepan krisis kewangan.

“Perkara itu dimaklumkan beberapa kali pada sesi ‘townhall’ pekerja bersama pemilik, tetapi pengurusan minta kami bekerja macam biasa kerana pihak syarikat maklumkan sedang memuktamadkan ‘perkongsian strategik’.”

Seorang lagi pekerja MYAirline berkata akibat kelewatan gaji itu, kewangan mereka terjejas teruk malah lebih membimbangkan apabila ada yang berdepan tekanan dan kemurungan.

“Kami ada rujuk kes ke Perkeso untuk tuntut pampasan, tetapi pihak Perkeso kata kami tak layak kerana masih dianggap mempunyai majikan,” katanya yang berharap ada bantuan kewangan atau moratorium bayaran pinjaman bank bagi sementara waktu.

FMT telah menghantar e-mel kepada MYAirline untuk mendapat maklum balas berhubung aduan kakitangan berkenaan.

Semalam, Eksekutif interim MyAirline Azharuddin Abdul Rahman berkata semua pekerja syarikat itu masih dalam penggajian penuh dan tiada pekerja yang diberikan cuti tanpa gaji.

Perkembangan terbaharu, FMT difahamkan semua kakitangan syarikat penerbangan tambang murah itu diminta untuk kembali bertugas di pejabat esok di sebalik tunggakan gaji dihadapi mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.