39 pelajar, kakitangan sekolah terkena ‘jangkitan’ usai perkhemahan

39 pelajar, kakitangan sekolah terkena ‘jangkitan’ usai perkhemahan

Pelajar dan kakitangan itu dilapor mengalami simptom demam, batuk dan ruam pada badan selepas menyertai program di tapak perkhemahan persendirian di Yan.

Pelajar dan kakitangan yang terkesan dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
PETALING JAYA:
Seramai 39 pelajar dan kakitangan sebuah sekolah menengah terkena ‘jangkitan’ selepas menyertai perkhemahan di Yan, Kedah, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria, berkata pelajar dan kakitangan sekolah terbabit dilapor mengalami simptom demam, batuk dan ruam pada badan selepas menyertai program di tapak perkhemahan persendirian itu.

Namun, Mansor tidak mengulas lanjut mengenai jangkitan itu, sebaliknya memaklumkan akan turun ke tapak perkhemahan berkenaan petang ini untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Secara keseluruhan 763 pelajar dan kakitangan sekolah terbabit program di tapak perkhemahan itu, namun 39 daripada mereka mengalami simptom berkaitan selepas pulang dari lokasi berkenaan.

“Semua yang terkesan dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani dan keadaan mereka dilapor stabil ketika ini,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sudah dimaklumkan mengenai kejadian dan siasatan lanjut masih dilakukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.