
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf berkata dalang itu menabur janji manis, termasuk gaji lumayan untuk memperdaya rakyat Malaysia bekerja di luar negara yang akhirnya menjadi mangsa penipuan.
“Sudah pasti kes penipuan pekerjaan ini didalangi orang tempatan, tetapi mesti ada hubungan dengan sindiket dari luar negara.
“Terbaharu membabitkan kes rakyat Malaysia diselamatkan di Peru dan kini menunggu mangsa pulang, sebelum kenyataan mereka direkodkan.
“Polis akan mengumpul lebih banyak maklumat mengenai modus operandi sindiket terbabit,” katanya menurut Harian Metro pada Majlis Penutup Kejohanan Karate Piala Ketua Polis Negara 2023 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kuantan.
Sementara itu, Ramli berkata, tiada istilah pukau melalui panggilan telefon dalam kes mangsa penipuan, sebaliknya sindiket terbabit menggunakan pendekatan psikologi.
Katanya, sindiket juga mencari mangsa secara rawak tanpa mengetahui latar belakang mangsa.
“Malangnya, ada juga kes mereka tahu, tetapi akhirnya dikatakan dipukau.”