2 warga asing dalang geng samun bersenjata api, pecah rumah maut

2 warga asing dalang geng samun bersenjata api, pecah rumah maut

Polis berkata siasatan lanjut mendapati dua suspek mendalangi sebuah kumpulan samun bersenjata api dan pecah rumah dianggotai 15 warga asing.

FADIL MARSUS
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Fadil Marsus berkata dua suspek disyaki terbabit 50 kes pecah rumah dan samun bersenjata melibatkan kerugian lebih RM3 juta. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua warga asing dipercayai dalang utama geng samun bersenjata api dan pecah rumah ditembak mati di Jalan Semerah Padi, Cheras.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Fadil Marsus, berkata dua suspek disyaki terbabit 50 kes pecah rumah dan samun bersenjata melibatkan kerugian lebih RM3 juta.

Menurutnya, dua lelaki yang menaiki Honda Civic itu dikesan di Taman Pertama, Cheras oleh sepasukan anggota JSJ Bukit Aman dan JSJ Kontinjen Pahang yang melakukan tugasan cegah jenayah melalui Op Aman 6 kira-kira 3.45 pagi tadi.

“Kereta dinaiki suspek dikesan adalah kenderaan yang dilaporkan hilang bersabit Subang Jaya Report pada 2023,” katanya menurut Sinar Harian.

Ketika cuba memintas kereta suspek bagi tujuan pemeriksaan, beliau berkata, suspek bertindak agresif dengan melanggar kenderaan pasukan polis dan melepaskan tembakan sehingga memaksa tembakan balas dilepaskan bagi tujuan mempertahankan diri.

Menurutnya, suspek mati ditembak dalam kenderaan dinaiki mereka di tempat kejadian dan polis menemui dua senjata api berupa revolver serta semi auto, dadah dan peralatan bagi melakukan jenayah samun serta pecah rumah.

“Hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua mereka adalah dalang sebuah kumpulan samun bersenjata api dan pecah rumah yang dianggotai 15 warga asing.

“Selain menjadikan sasaran unit kediaman mewah seperti banglo, rumah tepi (corner lot) dan end lot di sekitar Lembah Klang, suspek turut aktif menyamun di Negeri Sembilan, Perak dan Pahang.”

Fadil berkata, pihaknya juga percaya mereka merancang melakukan jenayah samun susulan penemuan pemotong besi, senjata api, dadah, sarung tangan dan muka.

Katanya, semua anggota JSJ di KL, Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan sudah digerakkan bagi memburu baki 13 suspek.

Beliau berkata, pihaknya percaya jumlah mangsa mungkin melebihi 50 kes samun dan pecah rumah kerana tidak membuat laporan polis.

Justeru, beliau menyeru mangsa samun tampil membuat laporan polis dan mengalu-alukan sebarang maklumat berhubung situasi mencurigakan.

“JSJ tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan jenayah kekerasan yang boleh menggusarkan masyarakat dan akan memerangi mereka habis-habisan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.