Kerajaan usaha bawa keluar rakyat Malaysia dari Gaza

Kerajaan usaha bawa keluar rakyat Malaysia dari Gaza

Menteri Luar Zambry Abd Kadir berkata usaha membawa keluar Dr Nurul Ain Latif dilakukan dengan kerjasama kedutaan Filipina di Palestin.

Wisma Putra dalam kenyataan semalam berkata terdapat lima rakyat Malaysia berada di Gaza yang kini diserang tentera Israel. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan berusaha membawa keluar seorang doktor rakyat Malaysia dari zon konflik Semenanjung Gaza susulan pertempuran antara Israel dan Palestin yang berlarutan sejak 7 Okt lalu.

Menteri Luar, Zambry Abd Kadir, memaklumkan usaha evakuasi sedang dilakukan dengan kerjasama kedutaan Filipina di Palestin.

“Kedutaan Malaysia sudah dapat hubungi Dr Nurul Ain Latif yang berasal dari Kota Bharu dan berkahwin dengan warga Palestin.

“Mereka berada di tempat yang selamat,” katanya di Dewan Rakyat, menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) pada sesi pertanyaan menteri.

“Kita juga sedang berusaha melakukan proses evakuasi untuk Nurul Ain dan sehingga kini kita dapat kerjasama daripada kedutaan Filipina untuk keluarkan rakyat ini bersama dengan lapan warga Indonesia yang berada di kawasan konflik.”

Semalam, Wisma Putra dalam kenyataan berkata terdapat lima rakyat Malaysia berada di wilayah bergolak itu, iaitu seorang wanita selain seorang ibu dan tiga anak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.