
Menerusi kerjasama dengan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), pelajar yang terpilih daripada 14 sekolah di seluruh negara berpeluang mendapatkan barangan kelengkapan di pasar raya berkenaan.
Antara yang menerima sumbangan termasuk Sekolah Kebangsaan La Salle 1 Jinjang, Kuala Lumpur; SJK (C) Pay Yap, Melaka; SJK (T) Port Dickson, Negeri Sembilan; Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Limbang, Sarawak dan Sekolah Kebangsaan Kimanis, Papar, Sabah.
Sekolah yang terpilih itu turut merangkumi Sekolah Angkat Madani iaitu inisiatif strategik kerajaan yang memberi tumpuan kepada pembangunan sosial dan ekonomi di peringkat sekolah.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani, berkata inisiatif itu bertepatan dengan aspirasi pihaknya untuk memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat merentasi pelbagai peringkat usia dan latar belakang.
Katanya, ia adalah manifestasi komitmen berterusan Bank Rakyat dalam menyokong aspirasi kerajaan bagi memperkasa komuniti serta mendukung agenda pembangunan sosial yang mampan, khususnya dalam bidang pendidikan.
“Inisiatif ini juga selari dengan nilai kesejahteraan dalam konsep Malaysia Madani yang mementingkan pendidikan untuk melahirkan individu bertanggungjawab serta mampu menyumbang semula kepada pertumbuhan sosioekonomi negara,” katanya dalam majlis penyerahan Inisiatif Jangkauan Komuniti Madani: Kembali ke Sekolah 2026 diadakan di Mydin Subang Jaya.
Beliau berkata, setiap tahun Bank Rakyat komited melaksanakan inisiatif bantuan pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang bagi meringankan beban keluarga serta memperluas peluang akademik, sekali gus memberi manfaat kepada individu, masyarakat dan negara.
“Kami berharap sumbangan disalurkan dapat memberi manfaat kepada anak-anak dan seterusnya meringankan beban ibu bapa dan keluarga dalam menghadapi kekangan kewangan,” katanya.
Sejak 2022 hingga tahun ini, Bank Rakyat yang merupakan agensi bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyalurkan sumbangan ‘Back to School’ bernilai lebih RM1.3 juta kepada lebih 12,000 pelajar memerlukan di seluruh negara.