Goldman Sachs saman Malaysia berhubung pertikaian penyelesaian 1MDB

Goldman Sachs saman Malaysia berhubung pertikaian penyelesaian 1MDB

Bank pelaburan Amerika Syarikat itu menuduh kerajaan melanggar perjanjian penyelesaian.

Goldman Sachs Group Inc memfailkan saman itu di sebuah mahkamah di London semalam. (Gambar Bloomberg)
LONDON:
Goldman Sachs Group Inc membuat tindakan luar biasa apabila menyaman kerajaan Malaysia di mahkamah UK berhubung pertikaian berterusan berhubung penyelesaian berkaitan peranan bank itu dalam skandal 1MDB.

“Kami telah memfailkan permohonan timbang tara terhadap kerajaan Malaysia kerana melanggar kewajipannya untuk mengiktiraf aset sewajarnya sebagai jaminan diberikan oleh Goldman Sachs dalam perjanjian penyelesaian, dan untuk mendapatkan semula aset lain,” kata jurucakap bank yang beribu pejabat di New York itu dalam satu kenyataan yang dihantar melalui emel.

Eksekutif di bank Wall Street dilaporkan semakin kecewa dengan tuntutan Malaysia untuk meminda perjanjian 2020 yang sedia ada bagi penalti yang lebih berat, dan juga kurangnya maklumat yang berkaitan dengan aset yang dirampas negara itu.

Aduan itu difailkan pada Rabu di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London, kata sumber yang mengetahui perkara ini.

1MDB menjadi pusat skandal bernilai berbilion dolar yang menyebabkan siasatan di seluruh dunia. Beberapa bulan selepas menandatangani perjanjian asal pada 2020, Goldman mengakui peranannya dalam kes rasuah asing terbesar dalam sejarah penguatkuasaan Amerika Syarikat, dan mencapai penyelesaian antarabangsa yang melebihi USD5 bilion untuk peranannya dalam pengumpulan dana bagi 1MDB.

Sebagai sebahagian daripada penyelesaian 2020 dengan Malaysia, Goldman membuat pembayaran awal sebanyak USD2.5 bilion pada September tahun tersebut. Bank itu juga memberi jaminan mengembalikan USD1.4 bilion aset 1MDB yang dirampas oleh pihak berkuasa di seluruh dunia sebagai pertukaran bagi Malaysia untuk menarik balik tuduhan jenayah terhadap bank itu dan tidak mengemukakan tuduhan baru.

Bank itu juga dikehendaki membuat pembayaran interim sebanyak USD250 juta jika Malaysia tidak menerima sekurangnya USD500 juta aset dan hasil menjelang Ogos 2022, menurut Goldman.

Kedua-dua pihak terlibat dalam pertikaian berhubung perkara itu, jelas bank itu dalam kenyataan.

Malaysia baru-baru ini mengancam untuk menyaman Goldman jika bank itu tidak berunding semula perjanjian penyelesaian tersebut.

“Mereka (Goldman) memandang rendah kami. Mereka fikir kami tidak akan meneruskan tindakan,” kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim bulan lalu.

“Kami tidak rugi apa-apa kecuali yuran guaman, yang mana kerajaan boleh menguruskannya. Tetapi, integriti Goldman Sachs akan dipertikaikan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.