
Beliau berkata trend di peringkat sekolah rendah menurun daripada 0.12% kepada 0.07% manakala di peringkat menengah pula menurun daripada 1.14% kepada 0.99%.
Terdahulu, beliau menjawab pertanyaan daripada Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) yang memintanya menyatakan kadar keciciran dari sistem sekolah dan pecahan serta sebab-sebab keciciran mengikut tahun, umur serta jantina dari 2019 sehingga Jun 2023.
Lim melaporkan keciciran pelajar di peringkat sekolah rendah melibatkan Tahun 3, 4, dan 6 menunjukkan peningkatan; manakala Tahun 2 dan 5 tiada keciciran.
“Pada peringkat sekolah menengah pula, berlaku peningkatan kadar keciciran pelajar bagi Tingkatan 2 dalam tempoh 2019 hingga 2022 manakala terdapat penurunan kadar keciciran yang melibatkan Tingkatan 3, 4 dan 5 dalam tempoh berkenaan,” katanya.
Mengikut jantina pula, Lim berkata tiada keciciran pelajar perempuan di peringkat sekolah rendah. “Kadar keciciran pelajar lelaki menunjukkan trend penurunan iaitu 0.16% bagi 2019 kepada 0.09% pada 2022.”
“Di peringkat menengah pula, ia juga menunjukkan penurunan (perempuan dan lelaki),” katanya.
Menjelaskan sebab-sebab keciciran, rekod Sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid dari 2019 hingga 2023 menunjukkan sebab utama pelajar berhenti sekolah kerana tidak minat, bekerja, masalah keluarga, berkahwin, dan sukar ke sekolah kerana jarak.
Lim turut memaklumkan kementerian menjalankan program outreach pelajar cicir di semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dengan kerjasama komuniti setempat.
Kementerian akan memuktamadkan data kadar keciciran pelajar bagi 2023 selepas menerima maklumat enrolmen dari agensi selain KPM, tambahnya.