LHDN lunas RM14.55 bilion bayaran balik cukai, utama syarikat alami masalah tunai

LHDN lunas RM14.55 bilion bayaran balik cukai, utama syarikat alami masalah tunai

LHDN agih bayaran secara seimbang berdasarkan usia tunggakan dan mempertimbang keutamaan kepada PMKS atau syarikat.

hasil lhdn
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying, berkata antara strategi LHDN termasuk membayar dahulu lebihan cukai dan menjalankan audit kemudiannya dan mendahulukan tunggakan bayaran balik yang lebih lama.
PETALING JAYA:
Sejumlah RM14.55 bilion bayaran balik lebihan cukai melibatkan 3.47 juta bilangan kes sudah dilunaskan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) setakat 30 Nov, peningkatan 17.5% berbanding tempoh sama tahun lalu, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata, bayaran balik lebihan cukai dalam tempoh sama pada 2024 berjumlah RM12.39 billion, melibatkan 2.71 juta kes.

“Daripada 3.47 juta kes yang dibayar balik tahun ini, sebanyak 3.34 juta kes telah selesai dibayar sepenuhnya dengan jumlah bayaran balik sebanyak RM13.32 bilion.

“Dalam usaha memperkukuh pengurusan bayaran balik lebihan cukai, LHDN telah merangka strategi bagi memastikan peruntukan bayaran balik yang disediakan oleh kerajaan dapat diagihkan secara teratur dengan keutamaan diberikan kepada kes bayaran balik lebihan cukai berdasarkan usia tunggakan,” kata Lim menurut Bernama.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Kewangan 2025 di Dewan Negara.

Katanya, antara strategi LHDN termasuk membayar dahulu lebihan cukai dan menjalankan audit kemudiannya dan mendahulukan tunggakan bayaran balik yang lebih lama.

Seterusnya, LHDN juga mengagihkan bayaran balik lebihan cukai secara seimbang berdasarkan usia tunggakan serta membuat bayaran penuh tunggakan bayaran balik lebihan cukai untuk kategori pembayar cukai individu, dan mempertimbang keutamaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) atau syarikat yang mengalami masalah aliran tunai.

Dalam pada itu, persidangan Dewan Negara meluluskan RUU Kewangan 2025 yang merangkumi pindaan ke atas lima akta percukaian — Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Setem 1949, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 dan Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967.

RUU tersebut telah diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas 11 Ahli Dewan Negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.