Buat tuntutan palsu RM22.7 juta, pemilik syarikat import beras didakwa

Buat tuntutan palsu RM22.7 juta, pemilik syarikat import beras didakwa

C Kuganeswaran, 37, didakwa mengemukakan tuntutan palsu bagi projek membekalkan produk beras kepada Kedah Agro Holding Bhd, enam tahun lalu.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 23 November dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin. (Gambar Pexels)
PETALING JAYA:
Seorang pemilik syarikat pengimport beras dan rempah ratus mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi projek membekalkan produk beras kepada Kedah Agro Holding Bhd berjumlah RM22.7 juta, enam tahun lalu.

C Kuganeswaran, 37, pemilik syarikat Prolink Marketing Sdn Bhd, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob di sebuah hospital swasta di Klang di mana dia menerima rawatan, menurut laporan Bernama.

Dia didakwa memberikan tiga set dokumen tuntutan palsu kepada seorang ejen SME Development Bank Malaysia Berhad berkaitan Kemudahan Pembiayaan Komoditi Murabahah Berjangka-i/Kemudahan Pembiayaan Komoditi Murabahah Berputar-i, bagi projek membekalkan produk beras itu berjumlah RM22,760,000, yang tidak dilakukan.

Kuganeswaran didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat SME Development Bank Malaysia Berhad di sini pada 27 Jan serta 1 dan 14 Mac 2017.

Tuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. Dia menghadapi hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali ganda nilai yang palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan, mengikut Seksyen 24(2) akta sama.

Rozina menetapkan sebutan kes pada 23 November dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali manakala tertuduh diwakili peguam Abu Bakar Isa Ramat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.