
Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak, menggesa pendekatan percukaian berganda bagi pendapatan korporat, menakala Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway mencadangkan cukai keuntungan modal ke atas saham tidak tersenarai.
Lai Wei Sieng dari Universiti Kebangsaan Malaysia pula berkata, kadar cukai bagi golongan berpendapatan tinggi perlu dinaikkan.
Barjoyai memberitahu FMT, perubahan dasar percukaian ke atas keuntungan syarikat sambil mengekalkan cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada lebih bermanfaat daripada memperkenalkan semula GST yang dimansuhkan pada 2018.

Beberapa kumpulan menyarankan pengenalan semula GST dalam Belanjawan 2024. Barjoyai berkata, GST mungkin membawa peningkatan marginal sebanyak RM8 bilion setiap tahun.
Tetapi, jika cukai dikenakan terhadap dividen dibayar kepada pemegang saham syarikat tersenarai, “saya rasa ia boleh menjana cukai RM50 atau RM60 bilion serta-merta.”
Katanya, cukai pendapatan korporat di Malaysia berfungsi atas dasar cukai tunggal.
“Kita mencukai keuntungan syarikat, tetapi apabila syarikat mengagihkan keuntungan kepada pemegang saham, ia tidak dicukai lagi,” katanya sambil menambah seluruh dunia mengenakan cukai ke atas syarikat dan juga pemegang saham.
Dasar itu membolehkan kira-kira 100,000 keluarga hidup tanpa membayar sebarang cukai walaupun hidup berdasarkan pendapatan daripada dividen. “Jadi mereka kaya, tetapi tidak pernah (membayar) cukai seumur hidup mereka,” katanya sambil menambah “diskriminasi” yang menguntungkan golongan kaya perlu dihentikan.

Yeah pula berkata, cadangan memasukkan cukai keuntungan modal terhadap saham tidak tersenarai, seperti dinyatakan dalam Belanjawan 2023 disemak boleh menjadi kaedah tambahan bagi meningkatkan hasil.
Bagaimanapun katanya, meningkatkan kecekapan pungutan cukai dan perbelanjaan kerajaan boleh memberi sumbangan signifikan terhadap pendapatan kerajaan.
“Langkah pengukuhan pendapatan perlu disertakan usaha meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan memperuntukkan sewajarnya kepada pelbagai keperluan perbelanjaan dengan kesan belian pasaran lebih besar,” kata Yeah yang menganggotai pasukan menasihati Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebagai menteri kewangan.

Lai mencadangkan kenaikan kadar cukai pendapatan individu buat 10% kumpulan teratas dan kadar cukai lebih tinggi terhadap syarikat multinasional, selain menyokong pelaburan lebih besar dalam pelbagai instrumen kewangan, termasuk saham, bon dan sekuriti lain.