Tiada aduan guna aset kerajaan ketika kempen PRK Pelangai, kata SPR

Tiada aduan guna aset kerajaan ketika kempen PRK Pelangai, kata SPR

Ini termasuk berkenaan penyalahgunaan aset dan jentera oleh mana-mana pihak seperti yang didakwa sebelum ini, kata Abdul Ghani Salleh.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata, peratusan keluar mengundi bagi PRK Pelangai dijangka mencecah 75%.
BENTONG:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat ini tidak menerima sebarang aduan mengenai kesalahan dalam tempoh berkempen PRK DUN Pelangai

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata, ini termasuk berkenaan penyalahgunaan aset dan jentera untuk tujuan berkempen oleh mana-mana pihak seperti yang didakwa oleh Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini.

“Alhamdulillah tidak ada aduan yang tidak sepatutnya. Kami juga tidak menerima sebarang aduan mengenai dakwaan penyalahgunaan aset dan jentera kerajaan,” katanya selepas meninjau persiapan pusat penjumlahan undi PRK Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul hari ini.

Rabu lepas, Tuan Ibrahim meminta SPR menyiasat jentera Barisan Nasional (BN) kerana didakwa menggunakan aset dan jentera kerajaan negeri selain memberi insentif kepada rakyat sepanjang tempoh kempen PRK Pelangai.

Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal Pengerusi BN Pahang Wan Rosdy Wan Ismail semalam yang memaklumkan BN Pahang bersedia untuk disiasat SPR.

Mengulas tentang tinjauan yang dilakukan hari ini, Abdul Ghani berkata, persiapan petugas di pusat penjumlahan undi serta semua sembilan pusat mengundi dan 30 saluran berjalan lancar.

Katanya, SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi PRK Pelangai boleh mencecah 75%.

“Memandangkan kawasan Pelangai tidak begitu jauh dan besar, saya jangka dalam 9 malam esok kita akan memperoleh keputusan (PRK Pelangai),” katanya.

Sementara itu, Abdul Ghani dalam kenyataan yang dikeluarkan SPR mengingatkan semua pihak yang bertanding supaya menghentikan sebarang bentuk aktiviti kempen dan merayu undi di luar pusat mengundi serta saluran media sosial sebaik tempoh kempen tamat pada 11.59 malam ini.

“SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana ia merupakan satu kesalahan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Walaupun pengundi boleh keluar mengundi mengikut kelapangan dari 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu pusat mengundi yang diwartakan, Abdul Ghani mengingatkan pengundi agar tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir.

“SPR juga ingin mengingatkan majikan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada pada Sabtu ini, sebagaimana diperuntukkan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

PRK Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos.

Pilihan raya esok menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN Amizar Abu Adam, Kasim Samat (PN), dan calon bebas Haslihelmy DM Zulhasli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.