
“Johari orang yang baik. Beliau tak kisah siapa kita dan akan bantu kalau kita memerlukan,” kata Faizan Mat Zain, 39, seorang pekerja pasar raya kepada FMT.
“Saya harap Adun baharu yang akan dipilih pada Sabtu (esok) ada ciri-ciri yang sama.”
PRK Pelangai diadakan berikutan kematian Johari, yang juga exco Pahang, dalam nahas pesawat berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos.
Pada PRU15, Johari memenangi kerusi itu untuk Barisan Nasional (BN) dalam pertembungan empat penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Pejuang.
PRK esok menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan calon BN Amizar Abu Adam, Kasim Samat (PN), dan calon bebas Haslihelmy DM Zulhasli.
Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Gapoi Ramli Mat berharap Adun akan datang dapat membantu masyarakat seperti yang dilakukan Johari.
Pemilik perniagaan Yew Ting Foo, 43, berkata Johari sentiasa turun padang untuk bertemu rakyat.
“Beliau sangat baik dan mudah dihubungi,” kata Yew, yang berharap pengganti Johari akan mengikuti gaya wakil rakyat itu.
Yew turut berharap Adun baharu nanti akan meneruskan usaha menambah baik akses Internet di kawasan tersebut.
“Susah dapat akses Internet di sini. Perkara ini menjejaskan perniagaan saya, jadi saya harap ia dapat diselesaikan segera,” katanya.